3 mesyuarat ketengahkan kerjasama pengangkutan darat di negara ahli ASEAN

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 SEPT – Negara Brunei Darussalam telah menyertai Mesyuarat Kumpulan Kerja Pengangkutan Darat ASEAN (LTWG) ke-29, Kumpulan Sub Kerja Lebuh Raya ASEAN (AHSWG) ke-18 dan Kumpulan Kerja Khas Keselamatan Jalan Raya Berbilang Sektor ASEAN (MRSSWG) ke-11 yang berlangsung selama tiga hari hingga kelmarin melalui aplikasi persidangan video.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Darat (JPD), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, di sini, mesyuarat telah didahului dengan Mesyuarat ASEAN MRSSWG ke-11 pada 7 September yang telah dipengerusikan oleh Directorate for Roads, Kementerian Pengangkutan Vietnam, diikuti dengan mesyuarat AHSWG ke-18 yang telah dipengerusikan oleh Jabatan Lebuh Raya, Kementerian Pengangkutan Thailand dan kemudiannya Mesyuarat ASEAN LTWG ke-19 yang juga telah dipengerusikan oleh Directorate for Roads, Kementerian Pengangkutan Vietnam.

Delegasi Negara Brunei Darussalam pada mesyuarat-mesyuarat berkenaan telah diketuai oleh pegawai kanan JPD dan turut disertai oleh pegawai-pegawai lain dari JPD, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Jabatan Jalan Raya, Jabatan Kerja raya, Kementerian Pembangunan.

Mesyuarat-mesyuarat berkenaan merupakan perjumpaan tahunan bagi membincangkan perlaksanaan tindakan-tindakan yang telah dikenal pasti di dalam Pelan Strategik Pengangkutan Kuala Lumpur (KLTSP) 2016-2025 serta kerjasama-kerjasama dalam pengangkutan darat dengan rakan dialog ASEAN dan pertubuhan-pertubuhan antarabangsa yang lain.

Kenyataan menyatakan lagi bahawa ASEAN MRSSWG ke-11 telah meneliti draf Deklarasi ASEAN mengenai Keselamatan Jalan Raya 2020 yang antara lain memuatkan cadangan sasaran-sasaran dan tindakan-tindakan yang terkandung di dalam Deklarasi Stockholm yang disahkan semasa Persidangan Menteri-Menteri Global mengenai Keselamatan Jalan Raya ke-3 yang telah diadakan pada 19 hingga 20 Februari 2020 di Stockholm, Sweden.

Draf deklarasi berkenaan dicadangkan untuk disahkan oleh menteri-menteri pengangkutan ASEAN ke-26 pada November depan di mana antara kandungan di dalam draf deklarasi itu adalah cadangan sasaran mengurangkan kematian di jalan raya sekurang-kurangnya 50 peratus dari tahun 2020 hingga 2030 selaras dengan Deklarasi Stockholm.

Mesyuarat berkenaan juga telah meneliti draf Garis Panduan bagi Memperbaiki Prosedur Standard bagi Melaporkan Nahas-nahas Jalan Raya di Negara Ahli ASEAN berdasarkan Standard Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang juga dicadangkan untuk disahkan semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Pengangkutan ASEAN ke-26.

Sementara itu, Mesyuarat AHSWG ke-18 pula telah meneliti draf pindaan ke atas Ministerial Understanding on the Development of ASEAN Highway Network Project, 1999 yang dicadangkan untuk ditandatangani pada Mesyuarat Menteri-Menteri Pengangkutan ASEAN ke-29 pada 2023.

Mesyuarat ASEAN LTWG ke-29 pula telah mendengarkan status penyediaan Pelan Induk Pengangkutan Pintar Kebangsaan (ITS) serta projek-projek yang berkaitan dengannya di negara-negara ahli ASEAN yang berkenaan.

Mesyuarat juga telah membincangkan perkembangan perlaksanaan Projek ASEAN-GIZ mengenai Sustainable Design of Urban Mobility in Middle-sized Metropolitan Regions in ASEAN (SMMR).