WELLINGTON, 19 JAN – Tiga ekor paus pilot mati hari ini, termasuk seekor yang dibunuh secara belas kasihan oleh sukarelawan, selepas sekumpulan 30 ekor paus dari pelbagai peringkat umur dan saiz terdampar semula berhampiran di bahagian hujung utara Pulau Selatan New Zealand, yang ketiga terdampar di kawasan itu dalam tempoh dua bulan lalu.
Sukarelawan dari Jabatan Pemuliharaan (DOC) dan projek Jonah, pertubuhan yang melindungi dan memulihara ikan paus, ikan lumba-lumba dan anjing laut, cuba memulihkan ikan paus yang tinggal selepas 30 ikan paus pilot ditemui datang ke pantai berhampiran Pakawau di Golden Bay pada Sabtu.
Pengurus operasi Doc Golden Bay Andrew Lamason memberitahu radio New Zealand bahawa keadaan berangin membuatkan keadaan menjadi sukar.
Projek Jonah menyeru penduduk tempatan untuk membantu ikan paus kembali ke laut. Paus yang tinggal mungkin perlu dibunuh secara belas kasihan selepas tidak banyak kemajuan dibuat oleh pasukan penyelamat.
Minggu lalu, seekor ikan paus paruh juvana terkandas di pantai New Brighton di Christchurch, bandar terbesar di Pulau Selatan, dan dengan segera dibantu kembali ke laut, menurut Projek Jonah. Bentuk teluk adalah faktor yang berkemungkinan memerangkap ikan paus berulang kali, menurut laporan itu. -Xinhua