Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 JUN – Negara Brunei Darussalam akan menghantar tiga orang pegawai Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) sebagai ahli Independent Decommissioning Body Verification, Monitoring and Assistance Team (IDB VMAT) 6/2024 ke Mindanao, Republik Filipina.
Sehubungan itu, upacara penyerahan bendera Negara Brunei Darussalam bagi pemergian ahli IDB VMAT 6/2024 telah diadakan di Bolkiah Garison, hari ini.
Hadir pada majlis berkenaan dan seterusnya menyempurnakan penyampaian bendera negara kepada ketua delegasi ialah Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan.
Turut hadir ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Filipina ke negara ini, Puan Yang Terutama Marian Jocelyn R Tirol-Ignacio, setiausaha tetap di Kementerian Pertahanan, pemerintah-pemerintah angkatan tentera, pemangku pemerintah angkatan bersama ABDB, timbalan setiausaha tetap, pengarah-pengarah tentera dan awam, atase pertahanan tentera Republik Filipina ke negara ini, komandan-komandan, para pegawai kanan, pegawai serta anggota dari kementerian tersebut.
Majlis menyaksikan penyerahan bendera negara kepada Leftenan Kolonel (U) Mohammad Khairul bin Pehin Datu Indera Setia Dato Paduka Seri Haji Sulaiman selaku ketua delegasi IDB VMAT 6/2024.
ABDB telah terlibat dalam menjalankan misi IDB VMAT selama lima tahun bagi membantu proses normalisasi di Mindanao, Republik Filipina.
Selain itu, dengan penglibatan negara dalam perlaksanaan misi berkenaan juga akan memperkukuhkan lagi hubungan pertahanan kedua-dua buah negara dan menyumbang ke arah kestabilan serantau.



