Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 DIS – Seramai 3 orang pelajar telah dianugerahkan Biasiswa Pendidikan Belia Negara Brunei Darussalam-Republik Singapura di mana mereka diraikan dalam Majlis Penganugerahan dan Menandatangani Perjanjian bagi Skim Biasiswa Pendidikan Negara Brunei Darussalam-Republik Singapura Sesi 2023/2024 yang berlangsung di Dewan Auditorium, Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyaksikan penandatanganan dan menyempurnakan penyampaian sijil penganugerahan ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Md Salleh.
Turut hadir di majlis berkenaan ialah Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Dr Haji Azman bin Ahmad, Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Dr. Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin, Timbalan Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Korporat), pengarah-pengarah, pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai Kementerian Pendidikan, guru besar dan para ibu bapa / penjaga pelajar.
Dalam ucapan alu-aluannya, Pemangku Pegawai Tugas-Tugas Khas Kanan, Ketua Jabatan Pengurusan Biasiswa, Dayang Rosimah Sumaimah binti Haji Matassim menyatakan pencapaian para pelajar berkenaan dianugerahkan biasiswa merupakan bukti kerja keras, komitmen dan ketekunan mereka serta juga mencerminkan komitmen sekolah dan bimbingan guru-guru yang telah mencurahkan ilmu pengetahuan dan kebijaksanaan kepada mereka.
Beliau seterusnya menyatakan bahawa para penerima biasiswa akan melangkah ke fasa baru pendidikan mereka di Singapura serta mengingatkan mereka bagawa pendidikan itu merupakan satu pengembaraan sepanjang hayat di mana mereka harus menerimanya dengan penuh ketekunan dan minda terbuka.

Ikuti berita lanjut di Media Permata keluaran Selasa.

