Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    3 pelajar IBTE berlepas ke Filipina

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JUN – Seramai 11 orang pelajar Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) dan Kolej Pengajian Siswazah Antarabangsa (IGS) telah terpilih untuk mengikuti latihan sambil belajar di bawah Program Mobiliti TVET ASEAN-Republik Korea (ROK) selama tiga bulan.

    Daripada jumlah pelajar berkenaan, tiga pelajar dari IBTE iaitu Awangku Izzat Hidayat bin Pengiran Puspa Wali, Awang Muhammad Waie Raziqien bin Muhammad Wafiuddin dan Awang Mohammad Nasrullah bin Roslan yang sedang mengikuti program NTec di IBTE Kampus Mekanikal dan IBTE Kampus Sultan Bolkiah telah berlepas ke Toyota Motor Philippines, School of Technology, kelmarin.

    Sementara itu, tiga lagi pelajar (dua pelajar dari IBTE dan seorang pelajar dari Kolej IGS) berlepas pada hari ini bagi mengikuti latihan sambil belajar di Nanyang Polytechnic International, Singapura dan selebihnya akan berlepas ke negara-negara ASEAN yang lain seperti yang dijadualkan kemudian.

    Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat belayar ialah Pengetua IBTE Sentral, Awang Armi Durani bin Haji Durhman berserta beberapa orang tenaga pengajar.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan, lima sektor telah dikenal pasti dan disahkan oleh ASEAN Senior Official Meeting on Education (SOMED) bagi program berkenaan iaitu Elektrik dan Elektronik, Pembinaan Bangunan, Automotif, Hospitaliti dan Pelancongan, dan Sains Komputer dan Maklumat.

    Program tersebut dibiayai sepenuhnya oleh Dana Kerjasama ASEAN-ROK.

    Antara objektif utama program itu ialah untuk memperkukuh bidang Program TVET serantau, mengurangkan jurang kompetensi kerja dalam kalangan negara ASEAN, mendedahkan para peserta mengenai pertukaran budaya dan pendidikan serta meningkatkan kerjasama antara institusi-institusi yang terlibat.

    Awang Armi Durani bergambar bersama pelajar dan tenaga pengajar di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei sebelum berlepas ke Filipina. – Gambar oleh Syahmi Hassan
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda