Ahad, 23 November 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    3 pelajar ke Jepun dalami pengajaran bencana tsunami

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Nov- Sekumpulan tiga pelajar dan seorang guru dari Sekolah Menengah Masin akan menyertai program High School Students Summit on World Tsunami Awareness Day 2025 yang berlangsung di Bandaraya Sendai, Wilayah Tohoku, Jepun pada 23 hingga 29 November.

    Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, hari ini, bagi mengucapkan selamat belayar kepada para peserta program ialah Pemangku Pengarah, Jabatan Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan, Dr Eddy Fazlin bin Haji Amdan.

    Turut hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei ialah pegawai-pegawai Kementerian Pendidikan dari Jabatan Sekolah-sekolah, serta ibu bapa dan ahli keluarga pelajar.

     Dr Eddy Fazlin hadir mengucapkan selamat tinggal kepada delegasi berkenaan.

    Pelajar-pelajar yang mewakili Negara Brunei Darussalam ialah pelajar Tahun 10, Dayang Nazzatul Amanina binti Amir dan dua pelajar Tahun 9 iaitu Dayang Wan Sahrifah Nur Darwisyah binti Wan Md Yunos dan Dayang Amani Zulaikha binti Abdullah dengan diiringi oleh guru mereka, Pegawai Pendidikan, Dayang Zuliza binti Haji Rosle selaku ketua delegasi.

    Delegasi yang terdiri dari seorang guru dan tiga pelajar berkenaan.

    Program antarabangsa itu bertujuan untuk mendalami sejarah berlakunya tsunami di Jepun serta memahami usaha pengurangan risiko bencana (Disaster Risk Reduction, DRR).

    Program itu juga berperanan meningkatkan kesedaran global mengenai ancaman tsunami dan bencana lain di samping memupuk kepimpinan belia khususnya dalam aspek kesiapsiagaan dan ketahanan komuniti.

    Selain itu, ia turut memperkukuhkan hubungan serta perkongsian ilmu antara pelajar Jepun dan pelajar antarabangsa. Program ini turut menekankan nilai kerjasama global berlandaskan Sendai Framework for Disaster Risk Reduction 2015–2030, selaras dengan usaha Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) dalam mengurangkan risiko bencana di seluruh dunia.

    Sepanjang program berkenaan, para pelajar bersama guru pembimbing akan berpeluang menyertai pelbagai aktiviti, termasuk sesi bengkel selama dua hari, sesi orientasi di Tokyo, sesi perbincangan bersama pihak berkepentingan, serta sesi perkongsian bersama pakar, pusat komuniti, dan institusi berkaitan DRR.

    Di samping itu, para pelajar juga akan berkesempatan mengikuti lawatan sambil belajar ke lokasi-lokasi berkaitan mitigasi bencana dan tapak berlakunya bencana tsunami.

    Atas & Bawah: Sesi bergambar ramai sebelum berlepas ke Jepun.
    GAMBAR-GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda