BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Okt – Dua orang pelajar lelaki Tahun 10 dan seorang pelajar lelaki Tahun 11 Program Pra-Vokasional Sekolah Menengah Sultan Sharif Ali (SMSSA) telah menamatkan latihan penempatan kerja di Syarikat Sabli Food Industries (B) Sdn Bhd, Estet Perindustrian Lambak Kanan dengan jayanya baru-baru ini.
Bagi menghargai Syarikat Sabli Food Industries (B) Sdn Bhd, Pengetua Akademik Sekolah Menengah Sultan Sharif Ali, Awang Umar bin Haji Ramlee telah menyampaikan sijil penghargaan dan cenderamata kepada Pengurus Sabli Food Industries (B) Sdn Bhd, Haji Mohd Nooh bin Orang Kaya Maharaja Dinda Haji Saman.
Turut hadir semasa penyampaian sijil penghargaan di syarikat berkenaan ialah pegawai-pegawai Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan, ahli-ahli pentadbiran Syarikat Sabli Food Industries (B) Sdn Bhd dan guru Homeroom Program Pra-Vokasional SMSSA.
Awang Umar bin Haji Ramlee dalam ucapannya telah menyampaikan penghargaan atas sokongan daripada Syarikat Sabli Food Industries (B) Sdn Bhd dalam menyokong Program Pra-Vokasional melalui peluang yang diberikan kepada pelajar menjalani penempatan kerja.
Semasa bekerja di Syarikat Sabli Food Industries (B) Sdn Bhd, pelajar-pelajar berkenaan telah menimba kemahiran, pengetahuan dan pengalaman bekerja yang sangat berharga.
Awang Umar juga menghargai sokongan yang diberikan oleh pihak Unit Akademik, Jabatan Sekolah-sekolah dalam membantu pihak sekolah dalam mencari peluang penempatan kerja dan menguruskan permohonan penempatan kerja pelajar Program Pra-Vokasional.
Di kesempatan itu, Haji Mohd Nooh juga menyampaikan sijil penyertaan kepada tiga pelajar berkenaan.
Latihan penempatan kerja pelajar berkenaan berjalan selama tiga bulan bermula 12 Julai hingga hari ini. Pelajar bekerja dari jam 8 pagi hingga 12 tengah hari semasa hari persekolahan saja.