Ahad, 23 November 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    3 pelajar terima biasiswa pendidikan belia Brunei-Singapura

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 DIS – Tiga orang pelajar telah dianugerahkan Biasiswa Pendidikan Belia Negara Brunei Darussalam-Republik Singapura Sesi 2023/2024 dan diraikan dalam majlis penganugerahan dan menandatangani perjanjian bagi skim biasiswa berkenaan yang berlangsung di Dewan Auditorium, Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyaksikan penandatanganan dan menyempurnakan penyampaian sijil penganugerahan ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh.

    Turut hadir ialah Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Dr Haji Azman bin Ahmad; Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin; Timbalan Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Korporat), para pengarah, pegawai kanan dan pegawai Kemen-terian Pendidikan, guru besar dan para ibu bapa atau penjaga pelajar.

    Dalam ucapan alu-aluannya, Pemangku Pegawai Tugas-Tugas Khas Kanan, Ketua Jabatan Pengurusan Biasiswa, Dayang Rosimah Sumaimah binti Haji Matassim menyatakan bahawa pencapaian para pelajar berkenaan dianugerahkan biasiswa merupakan bukti kerja keras, komitmen dan ketekunan mereka serta juga mencerminkan komitmen sekolah dan bimbingan guru-guru yang telah mencurahkan ilmu pengetahuan dan kebijaksanaan kepada mereka.

    Beliau seterusnya menyatakan bahawa para penerima biasiswa akan melangkah ke fasa baharu pendidikan mereka di Singapura serta mengingatkan mereka bahawa pendidikan itu merupakan satu pengembaraan sepanjang hayat di mana mereka harus menerimanya dengan penuh ketekunan dan minda terbuka.

    Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah bergambar ramai bersama para penerima biasiswa. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    GAMBAR OLEH SIM Y. H.

    Mereka juga diseru untuk merebut setiap peluang mengembangkan pandangan mereka bukan sahaja secara akademik tetapi juga dari segi budaya dan sosial.

    Selain daripada diseru untuk tekun dalam pembelajaran, mereka juga diingatkan untuk memupuk keimbangan dalam pertumbuhan peribadi dan akademik menerusi penglibatan dalam aktiviti kokurikulum, berkawan dengan mereka daripada pelbagai latar belakang serta menerima cabaran yang hadir.

    “Ingat bahawa setiap kemunduran adalah bukan kegagalan tetapi peluang untuk belajar dan membesar lebih kuat,” nasihat beliau.

    Dayang Rosimah Sumaimah juga menasihatkan mereka untuk berpegang teguh kepada nilai-nilai keBruneian dan falsafah, Melayu Islam Beraja. Mereka disarankan untuk membawa obor identiti, pengetahuan, integriti dan kecemerlangan dengan bangga kerana kejayaan mereka bukan sahaja mencerminkan pencapaian mereka secara individu tetapi juga kepada sistem pendidikan kedua-dua negara.

    Majlis diteruskan dengan sesi penandatanganan perjanjian penerima anugerah berkenaan di mana menandatangani bagi pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah Dayang Rosimah Sumaimah dan bagi pihak kerajaan Republik Singapura ialah Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Republik Singapura ke Negara Brunei Darussalam, Shaun Grosee.

    Manakala itu, para penerima biasiswa pula disertai oleh dua orang penjamin yang terdiri daripada ibu bapa atau penjaga pelajar atau ahli keluarga terdekat.

    Tiga pelajar berkenaan dianugerahkan biasiswa untuk mengikuti pengajian peringkat menengah di Republik Singapura yang akan bermula pada Januari 2024.

    Para penerima biasiswa berkenaan ialah Glen Marcus Hong Tai Fu dari Sekolah Rendah Chung Hua, Kuala Belait yang akan menuntut di Victoria Secondary School, Awang Muhammad Raziq Zafran bin Muhammad Amin dari Sekolah Jigsaw yang akan menuntut di Ngee Ann Secondary School dan Awang Adam Rafie bin Rewandi dari Sekolah Rendah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah yang akan menuntut di Ngee Ann Secondary School.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda