MADRID, 3 JAN – Mason Greenwood dituduh menghina pengadil dalam saingan liga Sepanyol kelmarin, menjadi salah seorang daripada tiga pemain Getafe dibuang padang dalam kekalahan 2-0 kepada Rayo Vallecano.
Pengadil berkata dalam laporan selepas perlawanan, Greenwood menghinanya pada minit ke-50 dengan kata-kata makian dalam bahasa Inggeris, sesuatu yang dinafikan pemain Britain dan kelab Sepanyol itu.
“Dia tidak fasih dalam bahasa Sepanyol, dia memberitahu saya dia berkata sesuatu yang lain,” kata jurulatih Getafe Jose Bordalas dalam wawancara selepas perlawanan.
Pengadil, Jorge Figueroa Vazquez juga berkata dalam laporannya, selepas dibuang padang, Greenwood membuat isyarat menunjuk ke arah kepalanya dan menyatakan tidak bersetuju dengan keputusan itu.
Greenwood bermain dengan Getafe secara pinjaman dari Manchester United, yang ditinggalkannya pada penghujung musim lalu.
Getafe juga kehilangan pemain pertahanan Damian Suarez kerana didakwa menghina pembantu pengadil beberapa saat selepas dia digantikan pada minit ke-70.
Tuan rumah telah menurunkan pemain dari minit ke-40 selepas penyerang Juanmi Latasa dilayangkan kad kuning kedua.
Sergio Camello menjaringkan gol pada masa kecederaan separuh masa pertama dan di awal separuh masa kedua untuk membantu Rayo menamatkan rentetan lapan perlawanan tanpa kemenangan dalam liga Sepanyol. Keputusan itu menyebabkan Rayo menduduki tempat ke-11. Getafe kekal di tempat kelapan. – AP
