3 pendaki terkenal mungkin terkorban dalam runtuhan

BANFF, Alberta, 19 April – Tiga pendaki gunung terkenal dianggap mati selepas berlakunya insiden salji runtuh di Taman Negara Banff Alberta, kata pegawai Kanada, baru-baru ini.

Syarikat The North Face berkata bahawa Jess Roskelley dari Amerika, David Lama dan Hansjorg Auer dari Australia hilang ketika cuba mendaki permukaan timur Howse Peak di Icefields Parkway. Mereka dilaporkan mendaki melebihi masa daripada sepatutnya dalam pendakian itu kelmarin.

“Mereka hilang dan anggota pencarian dan penyelamatan tempatan menganggap mereka berkemungkinan berdepan dengan keadaan yang teruk,” kata North Face dalam satu kenyataan.

Roskelley mendaki Gunung Everest pada tahun 2003 pada usia 20 tahun. Pada masa itu dia merupakan individu termuda Amerika yang mendaki puncak tertinggi di dunia itu.

The North Face berkata ia melakukan apa yang termampu bagi memberi rangsangan semangat kepada keluarga dan rakan pendaki.

Gambar fail yang tidak bertarikh menunjukkan puncak gunung di Taman Negara Banff Alberta. Tiga pendaki gunung terkenal dianggap mati selepas runtuhan salji di Taman Negara Banff Alberta, kata pegawai Kanada pada Khamis lalu. – AFP

Pihak pengurusan taman Canada berkata ketiga-tiga lelaki itu cuba mendaki bahagian permukaan timur Howse Peak di Icefields Parkway pada hari Rabu. Pegawai mengatakan usaha pencarian sedang ditangguhkan kerana risiko tanah runtuh masih berlaku.

Pihak pengurusan taman itu berkata anggota keselamatan segera bertindak balas dengan melakukan pemerhatian daripada udara dan mencari tanda-tanda jika terdapatnya peralatan pendaki berkenaan dalam serpihan runtuhan.

“Pihak pengurusan taman itu juga memberi ucapan takziah kepada keluarga mangsa, rakan dan orang yang disayangi para pendaki,” kata pengurusan taman itu dalam satu kenyataan.

Bapa Roskelley, John Roskelley, sendiri adalah pendaki terkenal di dunia yang mempunyai pengalaman pendakian di Nepal dan Pakistan, kebanyakannya pada 1970an. John Roskelley menyertai anaknya pada ekspedisi Everest yang berjaya pada tahun 2003.

“Ia hanya memiliki satu jalan, di mana anda perlu memilih sama ada ia laluan yang betul atau anda akan berhadapan dengan mimpi ngeri. Ini adalah salah satu daripada perjalanan yang menjadi mimpi ngeri,” kata John Roskelley. – AP