Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 April – Setelah mengadakan ekspedisi kayuhan di lapan buah negara, tiga penjelajah warga Nepal kini berada di negara ini bagi meneruskan hasrat mereka untuk mengelilingi dunia yang membawa tema ‘Perlindungan Alam Sekitar dan Perdamaian Dunia’.
Ketua pasukan, Anish Dhakal, 22, merupakan seorang aktivis alam sekitar dan dua lagi rakannya Dilip Chhetri, 22, dan Nirmal Baral, 39, yang merupakan pekerja sosial dari organisasi yang berbeza selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, hari ini, dan akan berada di sini selama seminggu.
Sebelum tiba di Brunei, mereka sudah pun merentasi pelbagai negara seperti India, Bangladesh, Sri Lanka, Myanmar, Thailand, Laos, Kemboja dan Vietnam bermula sejak 30 Disember 2016.
Ketika ditemui Media Permata di lapangan terbang, Anish Dhakal telah menjelaskan bahawa tujuan mereka me-ngadakan penjelajahan ke seluruh dunia adalah bagi meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya melindungi alam sekitar dan hidup dalam keadaan yang damai.
“Gempa bumi dahsyat yang berlaku pada tahun 2015 di Nepal, yang telah membunuh seramai 9,000 orang dan mencederakan kira-kira 22,000 orang, telah membuatkan saya berfikir panjang. Alam sekitar telah melindungi kita selama bertahun-tahun, tetapi apa yang kita telah kembalikan kepada alam sekitar adalah kemusnahan,” tekan Anish.
Beliau juga menjelaskan bahawa dengan menggunakan basikal, pergi ke tempat-tempat yang dipenuhi dengan orang, akan dapat menolong mereka menyebarkan niat baik mereka, iaitu dengan bercakap tentang perdamaian dunia dan perlindungan alam sekitar, mengeratkan hubungan bersama pihak media dan berkongsi pengalaman tentang menjalani gaya hidup yang mesra alam.

“Selain itu, kami juga mengongsikan kepada sesiapa saja yang kami temui mengenai pemanasan global dan perubahan iklim dan kami menekankan akan pentingnya keamanan dan cinta di seluruh bumi,” tambah Anish lagi.
“Kita manusia begitu tamak, mengambil segala-galanya dari bumi ini dan tidak memberikan apa-apa yang baik kembali. Tetapi bumi ini masih utuh dan berkembang, jadi apa yang kita perlukan adalah membuat segala usaha untuk menyelamatkannya bagi generasi yang akan datang.”
Anish bersama dua orang rakannya juga mengongsikan bahawa mereka juga mengetahui mengenai aktiviti mingguan yang berlangsung di Brunei, iaitu Bandarku Ceria dan mereka sangat teruja untuk sama-sama menyertai inisiatif berkenaan pada hujung minggu ini.
“Kami ada membacanya dalam media sosial, bahkan kami juga mendapat tahu bahawa Sultan Brunei juga selalu terlibat dalam aktiviti-aktiviti yang dijalankan semasa Bandarku Ceria itu.”
Semasa keberadaan mereka di sini, mereka juga berniat untuk menjelajah ke keempat-empat daerah termasuk Daerah Temburong bagi menikmati kehijauan yang terdapat di sana.
Berkongsi mengenai pengalaman pengembaraan mereka, Anish telah menjelaskan bahawa mereka telah berdepan banyak dugaan di mana mereka terpaksa berehat di tepi jalan kerana keletihan, meminta tolong dengan saudara senegara mereka untuk menikmati jamuan yang lazat, dan juga pernah tidur di tepi jalan yang mana ia adalah berbahaya, namun tidak mematahkan semangat mereka untuk meneruskan perjuangan.
“Kami juga merancang untuk singgah ke setiap benua dalam masa lima tahun ini, tidak termasuk Antartika kerana cuacanya yang terlalu sejuk,” ujar Anish lagi.