Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JUN – Tiga daripada 21 buah premis perniagaan yang ditinjau oleh para pegawai penguat kuasa dari Unit Penguatkuasaan Kesihatan, Kementerian Kesihatan semasa Operasi Merati didapati tidak mematuhi arahan-arahan yang dikeluarkan dan dikenakan denda kompaun oleh unit tersebut.
Antara kesalahan-kesalahan yang telah didapati semasa operasi yang dijalankan di sebuah gedung perniagaan di Bandar Seri Begawan, baru-baru ini, adalah tidak menyediakan pemeriksaan suhu badan sebelum masuk ke premis, tidak memakai penutup hidung dan mulut bagi pengendali dan penyedia makanan serta tidak ada penjarakan sosial disediakan di premis tersebut bagi keselamatan pengunjung yang datang makan dine-in atau pun bawa balik.
Dalam hubungan itu, Kementerian Kesihatan sekali lagi menekankan dan mengingatkan para pengurus dan kakitangan premis-premis perniagaan untuk mematuhi arahan-arahan Kementerian Kesihatan serta terus melaksanakan tanggungjawab sosial masing-masing dan membudayakan langkah pencegahan COVID-19 di premis perniagaan masing-masing.
Penekanan itu dibuat oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.
Beliau menekankan lagi bahawa perkara yang utama ialah untuk mendapatkan kod QR BruHealth yang khusus bagi premis-premis tersebut dan mencetak kod QR serta meletakannya di kawasan pintu masuk premis untuk diimbas oleh pelanggan sebelum masuk dan sejurus sebelum meninggalkan premis, melakukan pemeriksaan suhu badan pelanggan di pintu masuk dan memastikan pelanggan mematuhi garis panduan penjarakan sosial, di samping mengamalkan langkah-langkah kebersihan dalam premis perniagaan.

Terdahulu, Yang Berhormat Dato menyatakan bahawa satu operasi rondaan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap premis perniagaan khususnya restoran, gerai makan dan medan makan telah dijalankan baru-baru ini, dalam memastikan arahan-arahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan dalam pengawalan jangkitan COVID-19 dipatuhi oleh pengurus dan kakitangan premis.
Manakala itu, semasa menjawab persoalan yang dikemukakan mengenai pentingnya bagi pematuhan kepada peraturan dan arahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, Yang Berhormat Dato menyatakan bahawa walaupun usaha menangani penularan wabak COVID-19 di Negara Brunei Darussalam adalah terkawal, masih perlu ditekankan sekali lagi kepada premis-premis perniagaan untuk terus mengamalkan dan mematuhi peraturan, langkah-langkah serta arahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan.
Ia adalah penting kerana kekhuatiran jangkitan masih ada dan setiap orang harus bertanggungjawab serta memainkan peranan masing-masing dalam menekankan penjarakan sosial.
Beliau menyatakan harapan supaya pengusaha premis makanan akan memperbaiki lagi langkah-langkah pengawalan yang dilaksanakan dalam menangani penularan wabak COVID-19.
Yang Berhormat Dato turut menjelaskan bahawa operasi pemantauan akan terus dilakukan secara rambang di keempat-empat buah daerah di seluruh negara.