BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Okt – Ke-menterian Kesihatan memaklumkan orang ramai supaya tidak menggunakan tiga produk kesihatan yang telah didapati dicemari dengan ubat-ubatan barat yang tidak diisytiharkan.
Produk-produk berkenaan adalah Core Run Capsule (dikilangkan Nature Nutri Co Ltd, Thailand) yang dicemari dengan tadalafil, Gold Viagra Pills (oleh Hongkong Jingongfu Biotechnology Co Ltd) dan Black Ant King Pills 3800mg (oleh Hongkong Hongwei Bioengineering Company) yang mana kedua-dua produk ini dicemari dengan sildenafil.
Kementerian Kesihatan dalam kenyataannya menekankan bahawa bahan-bahan pencemar dalam produk-produk berkenaan boleh mengakibatkan kesan-kesan mudarat yang membahayakan kesihatan.
Tadalafil dan sildenafil merupakan ubat yang digunakan untuk merawat mati pucuk yang memerlukan preskripsi doktor.
Antara kesan-kesan sampingan apabila mengambil ubat-ubat tersebut ialah merasa mual, muntah-muntah, muka kemerahan dan pening. Dalam kes-kes yang teruk, ia juga boleh menyebabkan peningkatan yang luar biasa dalam degupan jantung, kehilangan pendengaran secara tiba-tiba dan sawan.



Kementerian Kesihatan tidak pernah mengeluarkan kebenaran ke atas pengimportan bagi penjualan produk-produk tersebut. Berikutan dapatan ini, produk-produk berkenaan dilarang untuk diimport dan dijual di Negara Brunei Darussalam.
Sehubungan itu, orang ramai yang telah membeli atau mengambil produk-produk tersebut dinasihatkan untuk memberhentikan penggunaannya de-ngan serta merta. Jika mereka mengalami kesan advers dan merasa tidak sihat selepas memakan produk-produk berkenaan, hendaklah berjumpa doktor de-ngan segera.
Orang ramai yang terlibat dalam penjualan produk-produk tersebut (termasuk penjualan secara online seperti melalui Facebook dan sebagainya) diingatkan bahawa menjadi satu kesalahan di bawah Akta Racun 1956 untuk menjual mana-mana produk yang mengandungi bahan yang dikawal di bawah akta berkenaan dan boleh dikenakan denda sebanyak $8,000 atau penjara enam bulan, jika didapati bersalah.
Tambahan pula, jika seseorang melakukan sesuatu atas kecuaiannya sendiri yang membahayakan atau mungkin membahayakan nyawa manusia, jika didapati bersalah, akan didenda sebanyak $ 16,000 dan 12 bulan penjara.
Kementerian juga memohon kerjasama orang ramai untuk melaporkan kepada Bahagian Komplians dan Perlesenan jika mendapati produk-produk berkenaan masih dipasarkan di negara ini.
Untuk maklumat lanjut dan perhubungan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Bahagian Komplians dan Pe-lesenan melalui talian telefon 2393298 sambungan 208; menghantar e-mel kepada pharmacy.enforcement@moh.gov.bn; berjumpa terus pegawai komplians dan perlesenan di Tingkat 1, Bangunan Jabatan Perkhidmatan Farmasi, Kampung Madaras, Mukim Gadong A; atau hubungi Talian Darussalam 123.