Friday, February 7, 2025
26.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tiga profesor UBD kongsi aspirasi akademik

    Oleh Yusrin Junaidi –

    Aspirasi berterusan dalam menabur bakti sekali gus memberikan sumbangan kepada dunia akademik di samping sokongan padu daripada ahli keluarga dan teman-teman sekerja adalah antara faktor utama penyumbang kejayaan apabila tiga pakar akademik telah dianugerahkan gelaran profesor di Universiti Brunei Darussalam (UBD) baru-baru ini.

    Linguistik pemangkin semangat Profesor Dr Noor

    Semasa ditemu bual oleh pihak Media Permata, Profesor Dr Noor Azam bin Orang Kaya Maha Bijaya Haji Othman, yang juga warga tempatan terawal berkhidmat sebagai ahli akademik di Jabatan Bahasa Inggeris dan Linguistik UBD, mengimbau perjalanannya menelusuri dunia akademik yang membentuk aspirasi dirinya sebagai seorang sarjana.

    Bidang tumpuannya ialah linguistik di Brunei, yang sentiasa menjadi pemacu dirinya untuk mengekalkan semangat berkarya.

    “Saya mengetahui bahawa menjadi sarjana merupakan pilihan kerjaya seumur hidup kerana saya sangat berminat dalam bidang akademik dan penyelidikan.

    Apabila saya mula menyertai UBD, saya sangat bertuah kerana dibimbing oleh rakan-rakan sekerja yang banyak menyokong dan memupuk minat dalam bidang ini, lebih-lebih lagi ketika saya mula menceburkan diri dalam bidang penyelidikan dan penerbitan akademik,” luah Profesor Dr Noor Azam.

    DARI KIRI: Profesor Dr Basilios Tsikouras, Profesor Dr Noor Azam dan Profesor Dr Hoon Chang Yau. – Gambar oleh Yusrin Junaidi
    Gambar Freepik

    Menyoroti sekilas karya-karya penyelidikan nukilan Profesor Dr Noor Azam, sebahagian besarnya adalah berkait rapat dengan analisis dan penyelidikan mengenai situasi sosiolinguistik, corak sosiobudaya, pendidikan bahasa dan dasar-dasar negara, selain dalam bidang komunikasi profesional serta media di Brunei dan negara-negara serantau.

    Brunei lombong emas penyelidikan linguistik

    Dalam sudut pandang lain, Profesor Dr Noor Azam juga percaya bahawa Negara Brunei Darussalam adalah sangat sesuai dianggap sebagai sebuah pusat strategik bagi makmal kajian linguistik yang menawarkan banyak peluang penyelidikan dan wajar diketengahkan oleh para pengkaji tempatan.

    “Brunei merupakan lombong emas untuk menjalankan penyelidikan dan memperolehi data linguistik.

    “Banyak karya yang telah ditulis dari perspektif pengkaji-pengkaji antarabangsa.

    “Para pengkaji bahasa dari Brunei dalam aliran Inggeris dan Melayu harus bekerjasama untuk mendalami ekolinguistik tempatan, sekali gus menerbitkan penyelidikan mereka bagi tatapan dunia. Lebih banyak perspektif tempatan yang diterbitkan, lebih baik,” ujar Profesor Dr Noor Azam.

    Pengajian kedoktoran Dr Hoon Chang Yau

    Profesor Dr Hoon Chang Yau yang menamatkan pengajian PhD pada usia 26 tahun pada 2006 antara sarjana pertama yang membincangkan konsep dan fenomena multiculturalism dan hibrid sosialisasi di Indonesia, sekali gus menempatkan karya-karya akademik beliau sebagai karya perintis dan panduan kepada generasi akademik dalam bidang budaya dan politik di Indonesia.

    Lantaran itu, sebelum menyertai UBD, Profesor Dr Hoon pernah berkhidmat di University of Western Australia dan Singapore Management University (SMU) serta pernah dianugerahkan dengan Anugerah Kecemerlangan Pengajaran pada 2012 dan Anugerah Kecemerlangan Penyelidikan pada 2014 di SMU.

    Sumbangan ilmu dan pengalaman

    Dengan pengalaman pengajaran dan penyelidikan di samping memegang pelbagai academic affiliation dengan universiti-universiti dan institusi-institusi antarabangsa, Profesor Dr Hoon yang lahir dan dibesarkan di Daerah Belait percaya bahawa ia merupakan masa yang sesuai untuk beliau menyumbang dan membantu membina kapasiti tempatan di pusat penyelidikan utama, Institute of Asian Studies (IAS), UBD, di mana beliau kini berkhidmat sebagai pakar akademik sejak 2016.

    “Sejujurnya, pencapaian terbesar saya ialah apabila dapat melihat pelajar-pelajar saya berjaya menamatkan pengajian dan mendapatkan pekerjaan yang mereka inginkan.

    “Saya akan terus menyumbang kepada bidang pengetahuan, membina kapasiti tempatan dalam penyelidikan dan pendidikan dan terus memupuk graduan-graduan yang berkebolehan untuk kepentingan masyarakat dan negara,” tambahnya.

    Dalam temubual bersama pihak media, Profesor Dr Hoon turut berkongsi beberapa karya beliau yang paling berpengaruh dalam bidang pengkhususannya, iaitu kepelbagaian budaya dan etnik kontemporari di Asia Tenggara.

    “Monograf saya yang bertajuk Chinese Identity in Post-Suharto Indonesia pada 2008 adalah karya saya yang paling berpengaruh kerana ia menjadi salah satu rujukan utama mengenai situasi bangsa Cina pasca-pemerintahan Presiden Suharto di Indonesia.

    Manakala, artikel saya yang bertajuk Assimilation, Multiculturalism, Hybridity: The Dilemmas if the Ethnic Chinese in Post-Suharto Indonesia yang diterbitkan Asian Ethnicity pada tahun 2006 adalah penyelidikan pertama yang membincangkan isu multiculturalism di Indonesia. Sehingga kini, artikel ini telah dipetik lebih 200 kali,” kata Profesor Dr Hoon.

    Sepanjang lapan tahun beliau di SMU, Profesor Dr Hoon pernah mengendalikan modul-modul yang bervariasi melibatkan para pelajar dari pelbagai latar belakang. Modul beliau yang dikenali sebagai Managing Diversity in Asia pernah diiktiraf secara meluas dan telah dipaparkan oleh News Straits Times dan saluran berita BBC.

    Perjalanan 25 tahun Profesor Basilios Tsikouras

    Manakala dalam temu bual bersama Profesor Basilios Tsikouras, yang mahir dalam bidang geosains, beliau menjelaskan masih mendapati satu keseronokan dalam eksperimen dan akademik, walaupun selepas 25 tahun menimba pengalaman pengkhususan mineral dan batu-batuan dalam bidang berkenaan.

    Profesor Dr Tsikouras menjelaskan bahawa penyelidikan sentiasa menjadi daya penggerak berterusan dalam bidang kerjaya beliau kerana beliau turut memperolehi kepuasan ketika bekerjasama dengan rakan-rakan penyelidik tempatan dan antarabangsa.

    Beliau berkata, “Di UBD, saya diberikan banyak peluang luar biasa untuk mengembangkan potensi saya sebagai ahli akademik. UBD turut menyediakan persekitaran bagi saya untuk memupuk kecemerlangan dalam bidang geosains sekali gus memudahkan usaha-usaha penerbitan.

    “Melalui penyelidikan-penyelidikan ini, saya boleh menyumbangkan dapatan dan perspektif akademik yang berharga kepada komuniti saintifik yang memberi impak positif kepada pembangunan masyarakat. Perjalanan ini merupakan pengalaman yang banyak memperkaya kendiri dan saya bersyukur atas peluang yang diberikan oleh UBD kepada saya,” katanya.

    Memulakan kerjaya profesional sebagai ahli geologi, Profesor Dr Tsikouras sebelumnya pernah berkhidmat di syarikat-syarikat komersial yang memfokuskan kepentingan sumber air dan isu alam sekitar.

    Beliau kemudiannya menggalas jawatan sebagai ahli akademik di Universiti Patras di Greece pada sekitar tahun 2001 sehingga 2013 dan kemudiannya memulakan lembaran kerjaya di UBD sehingga kini.

    Rentetan itu, Profesor Dr Tsikouras juga pernah terlibat dalam penerokaan terawal berkaitan pelepasan sumber alami metana daripada batuan yang mengandungi kromit.

    Penemuan itu telah membuka jalan baharu bagi penyelidikan dalam bidang yang sama di seluruh dunia.

    “Kini, para penyelidik muda di UBD mendapat geoinspirasi dan sedang meneroka tingkah laku pemangkin kromit serta menyelidiki kemungkinan penghasilan bahan api berkos rendah dan mesra alam menggunakan mineral (kromit) ini. Usaha ini berpotensi dalam merevolusikan penyahkarbonan sektor tenaga,” jelas Profesor Dr Tsikouras.

    Pada masa ini, Profesor Dr Tsikouras turut terlibat dalam pelbagai projek memangkin isu mesra alam sekitar untuk kemajuan sains dan kepentingan masyarakat. Beliau bahkan merancang untuk terus menerbitkan lebih banyak penemuan menarik sekali gus memupuk minat para pelajar dan orang awam dalam bidang penyelidikan dan ilmu sains.

    “Matlamat saya adalah untuk terus menyampaikan kecintaan saya terhadap penyelidikan dan menanamkan sifat keterujaan dalam diri para pelajar ketika menemui atau mempelajari perkara-perkara baharu. Saya mahu memupuk potensi dan menggalakkan mereka untuk mencipta kejayaan dalam dunia sains dan akademik.

    “Dengan berkongsi pengetahuan dan pengalaman, saya berharap dapat memberi inspirasi kepada mereka untuk meneruskan semangat penyelidikan dan menyumbang kepada kemajuan bidang masing-masing,” tambahnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda