Thursday, October 24, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    3 remaja didakwa kerana menikam

    CANBERRA, 24 OKT – Tiga remaja telah didakwa berhubung insiden tikaman di sebuah pusat beli-belah di Australia Selatan (SA).

    Hari ini, Polis SA mengesahkan bahawa tiga remaja lelaki, masing-masing berumur 17, 16 dan 14 tahun, telah ditangkap dan didakwa atas serangan yang berlaku di pusat beli-belah kelmarin.

    Polis dikerahkan ke pusat beli-belah di kawasan pinggir utara Adelaide, ibu negeri SA, kira-kira jam 2:30 petang kelmarin selepas menerima laporan mengenai pergaduhan di kalangan remaja di medan selera.

    Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun ditikam di bahagian perut dan segera dikejarkan ke hospital untuk rawatan kecemasan akibat kecederaan serius. Menurut laporan akhbar tempatan The Advertiser, mangsa telah ditikam sekurang-kurangnya tiga kali tetapi berada dalam keadaan stabil di hospital pada malam kelmarin selepas menjalani pembedahan kecemasan.

    Polis SA dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa ketiga-tiga suspek ditemui di kawasan berhampiran dan ditahan.

    Kesemua mereka dinafikan ikat jamin dan akan dihadapkan ke Mahkamah Belia Adelaide hari ini. Tanggungjawab jenayah di SA bermula pada usia seawal 10 tahun.

    Mahkamah Belia SA boleh mengenakan hukuman tahanan maksimum tiga tahun bagi pesalah di bawah umur 18 tahun yang didapati bersalah.

    Polis SA juga sedang meneliti rakaman CCTV bagi mengenal pasti individu lain yang terlibat dalam insiden tersebut. – Xinhua

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda