Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JUN – Sebanyak 203 orang pelajar Darjah 6 dari tiga buah Sekolah Ugama di Daerah Brunei dan Muara telah diraikan dalam Majlis Khatam Al-Quran yang berlangsung secara berasingan di sekolah masing-masing, petang kelmarin.
Majlis Khatam Al-Quran berkenaan diadakan bagi mengiktiraf pencapaian para pelajar yang telah berjaya menyempurnakan bacaan 30 juzuk Al-Quran. Inisiatif ini bukan sahaja memperkukuh penghayatan terhadap kitab suci Al-Quran, malah menjadi wadah untuk membentuk generasi muda yang celik Al-Quran, beriman dan beramal, selaras dengan matlamat pendidikan Islam negara ini.
Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Sungai Akar, telah mengadakan majlis berkenaan di dewan sekolah bagi meraikan seramai 87 orang peserta Khatam.
Hadir selaku tetamu khas majlis ialah Ketua Urusetia Pendidikan Ugama Wajib, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Suherdey bin Serbini.


Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh tetamu khas, disusuli dengan bacaan surah-surah lazim oleh para peserta. Bacaan Takhtim dan Doa Khatam dibacakan oleh Dayang Nur A’thiyatul Widad Baheerah binti Mohammad Izrandi. Majlis turut diserikan dengan persembahan Dikir Asyraqal sebelum para peserta menerima sijil yang disampaikan oleh tetamu khas.
Di Sekolah Ugama Delima Satu, seramai 41 orang pelajar Darjah 6 turut diraikan dalam Majlis Khatam Al-Quran yang turut berlangsung dalam suasana penuh keberkatan.
Hadir selaku tetamu khas ialah Pemangku Pengetua Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Dayangku Aidi Noorintan binti Pengiran Haji Mohd Zinin dan memimpin bacaan Surah Al-Fatihah sebelum menyempurnakan penyampaian sijil kepada para peserta.


Sementara itu, Sekolah Ugama Rimba II (BSM) turut mengadakan majlis yang sama bagi 75 orang pelajar Darjah 6. Tetamu khas majlis ialah Ketua Bahagian Pentadbiran, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Hajah Noor Rasidah binti Haji Sharbini.


Majlis-majlis seumpama ini mencerminkan sokongan berterusan ibu bapa, pihak sekolah serta Jabatan Pengajian Islam dalam memperkukuh nilai-nilai keagamaan di kalangan pelajar serta memastikan kesinambungan pendidikan Al-Quran dalam kehidupan seharian generasi muda.

