Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 OGOS – Seramai 86 orang murid Darjah 6 dari tiga buah sekolah agama diraikan dalam Majlis Khatam Al-Quran yang berlangsung semalam dan petang tadi, sebagai tanda kejayaan mereka menamatkan pembacaan 30 juzuk Al-Quran.
Majlis berkenaan merupakan antara usaha berterusan Jabatan Pengajian Islam,
Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dalam memperkukuh penghayatan hidup beragama dan memartabatkan syiar Islam di kalangan murid-murid.
Daripada jumlah berkenaan, seramai 38 orang murid terdiri daripada 20 lelaki dan 18 perempuan dari Sekolah Ugama (SU) Haji Mohd Salleh, Sungai Hanching, diraikan dalam majlis yang berlangsung di Dewan Persidangan, Pusat Dakwah Islamiah, Kampung Pulaie.
Hadir selaku tetamu khas ialah Ketua Bahagian Pendidikan Khas Ugama, Jabatan Pengajian Islam (JPI), KHEU, Awang Muhammad Hady bin Bukhari.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Awang Muhammad Hady, diikuti dengan bacaan surah-surah lazim, Takhtim dan Doa Khatam oleh para peserta.



Beliau seterusnya menyempurnakan penyampaian sijil khatam yang turut diserikan dengan persembahan dikir dan ditutup dengan bacaan Doa Selamat.
Manakala dalam majlis berasingan, SU Kampung Mata-Mata, Gadong, turut mengadakan Majlis Khatam Al-Quran bagi meraikan 16 orang murid Darjah 6, yang terdiri daripada enam pelajar lelaki dan 10 perempuan.
Majlis berkenaan telah dihadiri oleh Ketua Unit Maklumat dan Perangkaan, Bahagian Pendidikan Khas Ugama, JPI, Dayang Noorhasnah binti Haji Zainal, selaku tetamu khas.
Beliau turut memulakan majlis dengan bacaan Surah Al-Fatihah sebelum menyempurnakan penyampaian sijil khatam kepada para peserta.
Sementara itu, petang tadi seramai 32 orang murid Darjah 6 dari SU Begawan Pehin Udana Khatib Haji Awang Umar, Kampung Setia, turut diraikan dalam majlis yang diadakan di dewan sekolah berkenaan.
Hadir selaku tetamu khas pada majlis tersebut ialah Pemangku Ketua Kampung Zon 3, Mukim Zon 2 Kampong Ayer, Awang Rahman bin Kassim.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Awang Rahman, diikuti dengan bacaan surah-surah lazim, Takhtim, Doa Khatam dan persembahan dikir.
Seterusnya sesi penyampaian sijil khatam turut disempurnakan oleh beliau kepada para peserta dan majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat.
Majlis-majlis seumpama ini turut disokong oleh kehadiran ibu bapa dan penjaga dan menjadi wadah memperkukuh minat serta penghayatan Al-Quran dalam kalangan generasi muda, sejajar dengan matlamat Kerajaan untuk melahirkan generasi celik Al-Quran, beriman, beramal dan bertaqwa.

