3 suspek pemberontak, 1 pegawai maut dalam pertempuran

SRINAGAR, INDIA, 30 OGOS – Tiga suspek pemberontak dan seorang pegawai pencegahan pemberontak terbunuh dalam pertempuran di pinggir bandar utama Kashmir yang dikawal India, kata polis hari ini.

Seorang askar India juga terbunuh dalam insiden tembakan Pakistan di sepanjang sempadan mereka di rantau bertikai itu, kata jurucakap tentera.

Polis berkata tiga pemberontak pada malam Sabtu telah melepaskan tembakan di pusat pemeriksaan pinggir Srinagar dalam usaha gagal untuk merebut senjata daripada askar separa tentera.

Polis dan askar separa tentera kemudian mengesan mereka bersembunyi di rumah orang awam, kata ketua polis rantau itu, Dilbagh Singh memberitahu wartawan.

Dalam pertempuran berikutnya, yang berakhir malam semalam, seorang pegawai pencegahan pemberontak dan tiga penyerang telah terbunuh, katanya. – AP