Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN 2 OGOS – Tiga buah syarikat telah dikenakan kompaun semasa Operasi Bersih 14/2020 yang dijalankan Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan, pada 29 Julai lalu.
Dua daripada syarikat berkenaan, Jimworks Sdn Bhd dan Topcity Enterprise dikenakan kompaun $200 setelah didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Kecil, Penggal 30 Bab 12 (1) (a) kerana membuang sampah perniagaan di tempat awam sekitar Jalan Telanai.
Manakala itu, Carserve Company dikenakan kompaun $500 kerana melakukan ke-salahan di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Kecil, Penggal 30 Bab 12 (1) (f) (i) meninggalkan kereta terbiar di tempat awam juga sekitar Jalan Telanai.
Dalam pada itu, semasa pemantauan kebersihan rutin harian pada 30 Julai, seorang individu didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Kecil, Penggal 30 Bab 12 (1) (d) kerana membuang dan melonggokkan bekas barang binaan di tempat awam sekitar Berakas Center Jalan Pasir Berakas dan dikenakan kompaun $300.
Dalam kes tersebut, syarikat-syarikat dan individu berkenaan dikehendaki membayar kompaun ke Bahagian Kewangan, Tingkat 3, Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan dalam tempoh tujuh hari.
Jika gagal menjelaskan bayaran kompaun berkenaan akan mengakibatkan kes berkenaan dihadapkan ke mahkamah, di mana bagi kesalahan pertama boleh membawa hukuman denda $1,000. Manakala itu, kesalahan kedua dan seterusnya boleh didenda $3,000 dan penjara tidak melebihi tiga bulan.
