Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 NOV – Dengan matlamat untuk mengukuhkan komitmen Brunei kepada kesejahteraan masyarakat dan kemampanan menerusi inisiatif alam sekitar kolaboratif, Brunei Gas Carriers (BGC), Brunei Shell Marketing (BSM) dan Royal Brunei Airlines (RB) mengadakan acara menanam pokok untuk tahun kedua yang diadakan di Taman Riadah, Jalan Stadium, hari ini.
Acara yang diadakan bertepatan dengan Hari Ozon Sedunia dan Ulang Tahun Penamaan Bandar Seri Begawan ke-55, melambangkan komitmen bersama organisasi-organisasi berkenaan untuk melindungi pasir, laut dan langit Negara Brunei Darussalam.

Pada acara tahun ini, sebanyak 55 pohon pokok hiasan jenis Yellow Trumpet (Tecoma Stans) telah ditanam untuk menghidupkan semula ruang komuniti serta membawa suasana hijau dengan lebih dekat ke kawasan di mana penduduk menetap, berhubung dan kekal aktif.
Dalam ucapan alu-aluan sebagai wakil ketiga-tiga organisasi, Pengarah Urusan Brunei Shell Marketing Company Sdn Bhd, Kapten Mohammad Alexirwan bin Haji Omar merakamkan penghargaannya serta mengetengahkan kepentingan kolaborasi berkenaan bagi mencapai matlamat yang sama selain memperkasakan warga mereka dan memastikan masa depan yang mampan bagi generasi yang akan datang.
“Melalui inisiatif seperti ini, kami berhasrat untuk mewujudkan legasi hijau yang berkekalan untuk komuniti dan ibu negara kita,” ujar beliau.

Pada 2024, organisasi-organisasi berkenaan bersama-sama dengan Maritime Port Authority Brunei Darussalam (MPABD) telah menanam sebanyak 175 pohon pokok jenis Kapur Merah (Dryobalanops Beccarii) di Taman Rekreasi Hutan Simpan Berakas, dengan kira-kira 94 peratus terus berkembang maju membuktikan dedikasi dan kerjasama kesemua peserta.
Bagi mewakili BGC, BSM dan RB, Kapten Mohammad Alexirwan merakamkan penghargaan kepada Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe) dan Sphiere Sdn Bhd atas kerjasama dan sokongan mereka dalam menjayakan acara berkenaan.
Kolaborasi itu, tambahnya, memainkan peranan penting bagi memudahkan aktiviti menanam pokok dan memajukan matlamat bersama mempromosikan Brunei sebagai negara yang lebih mampan dan hijau.
Beliau juga merakamkan penghargaan kepada semua rakan kongsi, rakan sejawat dan sukarelawan atas dedikasi dan sumbangan berterusan mereka kepada usaha yang bermakna itu.
“Sebagai syarikat-syarikat yang diamanahkan untuk melindungi pasir, laut, dan langit, kami percaya bahawa apa yang kami tanam hari ini, di tanah dan dalam semangat, akan membentuk alam sekitar yang kami wariskan pada masa hadapan. Apabila kita menjaga alam semula jadi, kita menjaga diri kita sendiri, dan bersama-sama kita membina Negara Brunei Darussalam yang lebih sihat dan lestari,” ulasnya lagi.
Inisiatif tahun ini mencerminkan sokongan berterusan organisasi terhadap agenda alam sekitar Negara Brunei Darussalam , termasuk Wawasan Brunei 2035 dan Dasar dan Strategi Perubahan Iklim Brunei, terutamanya dalam bidang peningkatan litupan hutan, pendidikan dan kesedaran.
Acara itu menggariskan aspirasi bersama untuk menyumbang ke arah peneutralan karbon menjelang 2050, sambil memupuk penglibatan komuniti dan hubungan dengan alam semula jadi.

Semua di atas: Para peserta menanam pokok semasa acara diadakan di Taman Riadah.


