ADEN, 23 Okt – Tiga tentera Yaman dan lima penyerang terbunuh dalam serangan maut ke atas pangkalan tentera di wilayah selatan Abyan hari ini, menurut sumber keselamatan.
Sebuah kereta yang dipasangkan alat letupan yang membawa lima orang lelaki berhenti di sebuah pangkalan tentera di daerah Mudiya di Abyan, sumber itu memberitahu AFP dengan merahsiakan identitinya.
Empat lelaki yang memakai tali pinggang letupan berlari keluar dari kereta dan menuju ke arah pangkalan, dan kesemuanya telah ditembak mati.
Kenderaan itu kemudian meletup di luar pangkalan itu, mengorbankan pemandu dan tiga orang tentera dari kontinjen dalam tentera Yaman yang dibantu UAE.
Wilayah-wilayah selatan Yaman, termasuklah Abyan, adalah tapak perang dron AS yang memakan masa lama, ke atas cabang Yaman, Al-Qaeda.
Al-Qaeda di Semenanjung Arab telah berkembang dalam keadaan kelam kabut perang saudara Yaman, yang melibatkan kerajaan Presiden Abedrabbo Mansour Hadi yang disokong Saudi ke atas pemberontak Huthi Syiah.
AS, satu-satunya kerajaan yang mengendalikan dron ke atas negara itu, menganggap AQAP cabang kumpulan radikal paling berbahaya dan menyokong kontinjen di selatan Yaman yang dilatih UAE.
Emiriah Arab Bersatu adalah komponen penting kumpulan tentera campuran yang diketuai Saudi yang campur tangan dalam peperangan untuk menyokong kerajaan Hadi dalam tahun 2015.
Sejak itu lebih 8,600 orang telah terkorban, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia. – AFP