Saturday, December 28, 2024
21.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    3 terbunuh dalam serangan di Tebing Barat

    HUWARA, 27 FEB – Dua warga Israel yang tinggal di penempatan di Tebing Barat terbunuh semalam dalam serangan didakwa dicetuskan oleh rakyat Palestin, kata pegawainya.

    Dalam insiden itu, seorang lelaki Palestin turut terbunuh manakala kumpulan peneroka bertindak membakar kediaman mereka bagi membalas dendam.

    Ia berlaku di tengah-tengah rundingan dibuat oleh Jordan untuk membincangkan keganasan yang semakin memburuk di wilayah yang diduduki itu dan beberapa hari selepas tentera Israel melancarkan serangan paling dahsyat di Tebing Barat dalam tempoh hampir 20 tahun, yang menyebabkan 11 rakyat Palestin terbunuh di bandar utara Nablus.

    Menurut Israel, serangan ke atas dua orang peneroka itu berlaku di selatan bandar berkenaan, menyasarkan sebuah kereta di jalan utama melalui bandar Huwara.

    Kenyataan bersama dikeluarkan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Menteri Keselamatan, Itamar Ben Gvir mengesahkan ‘dua orang awam Israel terbunuh dalam serangan yang didakwa dilakukan oleh penduduk Palestin’.

    Jurucakap Majlis Wilayah Shomron, yang mentadbir penempatan Israel di bahagian utara wilayah Palestin, menamakan mereka yang terbunuh sebagai Yagel Yaniv, 20, dan abangnya Hallel Yaniv, 22.

    Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan Palestin mengesahkan warga Palestin, Sameh Aqtash, 37, ditembak mati di kampung Zaatara dekat Nablus. – AFP

    Tentera Israel mengawal di lokasi kejadian tembakan di tempat pemeriksaan Hawara berdekatan bandar Tebing Barat, Nablus pada 26 Februari 2023. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda