Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Feb – Kerana gagal mengisytiharkan wang berjumlah lebih daripada RM$350,000 dan VND30.5 juta sebaik memasuki Brunei Darussalam, seorang lelaki dan dua wanita warga Vietnam diperintahkan oleh Mahkamah Majistret di sini, untuk membayar denda $5,000 setiap seorang.
Hukuman dijatuhkan Majistret Hajah Noor Amalina binti Dato Paduka Haji Alaihuddin terhadap Nguyen Le Hung, 44, Pham Thi My Hanh, 20, dan Duong Thi Thu Phuong, 30, yang mengaku bersalah atas tuduhan tersebut. Ketiga-tiga mereka diperintahkan untuk membayar denda itu, esok. Tertuduh didakwa Timbalan Pendakwa Raya, Kamaliah binti Haji Ibrahim di bawah Seksyen 37 (2) Perintah Mendapatkan Kembali Aset Jenayah 2012.
Menurut fakta kes, tiga rakan itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei pada 21 Januari 2018 dari Vietnam.
Ketika hendak melepasi kaunter kastam, mereka ditahan dan diarahkan untuk pergi ke bahagian pemeriksaan.
Mereka memeriksa beg kepunyaan Nguyen dan menemukan sejumlah wang dalam nilai mata wang asing dan sejumlah wang lagi turut ditemui dalam beg milik Pham dan Duong.
Siasatan mendapati wang yang dibawa masuk tertuduh ke negara ini adalah melebihi $15,000 dalam nilai mata wang Brunei. Di bawah Perintah Mendapatkan Kembali Aset Jenayah 2012, mana-mana wang yang dibawa masuk ke negara ini yang melebihi $15,000 perlu mendapatkan laporan atau pengisytiharan. Siasatan turut mendapati wang yang dibawa adalah untuk membeli sebuah kapal di Miri.