Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    3 warga asing dipenjara tinggal lebih masa

    Oleh Salawati Haji Yahya

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 SEPT – Tiga individu telah dijatuhkan hukuman penjara dalam sesi pendakwaan yang dijalankan bagi kes di bawah Bab 15(1), Akta Imigresen, Penggal 17 iaitu tinggal lebih masa di negara ini setelah pas imigresen mansuh.

    Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, berkata seorang perempuan warga Filipina yang dikenali dengan Joanne Baysa Umipig, 56, telah dijatuhkan hukuman penjara selama sembilan bulan dan denda sebanyak $1,000 sebagai ganti kepada sebatan.

    Walau bagaimanapun, individu itu gagal membayar denda yang dikenakan dan digantikan dengan hukuman penjara selama satu bulan, yang menjadikan jumlah hukuman pemenjaraannya kepada 10 bulan, dan hukuman berkuat kuasa pada 3 September 2025.

    Manakala sesi pendakwaan terhadap seorang lelaki warga Bangladesh, Md Oasim Mia, 34, merupakan kes peralihan daripada pihak Pasukan Polis Diraja Brunei.

    Dia telah mengaku bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara 10 bulan dan tiga kali sebatan, yang mana hukuman berkuat kuasa pada 10 September 2025.

    Sementara itu, Ahmad Fauzi, seorang lelaki warga Indonesia, 43, telah mengaku bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara selama enam bulan dan tiga kali sebatan yang mana hukuman berkuat kuasa pada 10 September 2025.

    Berikutan kes-kes pendakwaan itu, JIPK memberikan peringatan kepada orang ramai terutamanya warga asing bahawa tinggal lebih masa di negara ini merupakan satu kesalahan dan jika sabit kesalahan boleh membawa kepada hukuman penjara dan sebatan.

    Sehubungan itu, JIPK mengalu-alukan kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan pesalah-pesalah imigresen untuk menghubungi terus ke talian Hotline JIPK di talian 8734888 / 8753888 (Bandar Seri Begawan), dan 8984111 (Kuala Belait).

    Envato

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda