Oleh Nurdiyanah R.
BELAIT, 22 MEI – Dalam sama-sama memanfaatkan usia emas, seramai 30 orang ahli Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE) Daerah Tutong telah mengadakan lawatan sambil belajar ke salah sebuah syarikat perusahaan produk kuih-muih Melayu, Syarikat Daraman dan Anak-anak Sdn Bhd yang terletak di Kampung Sungai Teraban, Kuala Belait, baru-baru ini.
Rombongan yang diketuai oleh Pengurus PKWE Daerah Tutong, Haji Hamaffi bin Mohd Yassin itu telah dialu-alukan oleh pengurus syarikat tersebut, Hajah Suryanti binti Mukin.
Menerusi lawatan berkenaan, rombongan berpeluang menyaksikan secara langsung penghasilan sebahagian produk jualan sebagai satu pengalaman istimewa. Dengan adanya perkongsian ilmu pengetahuan dalam meniti liku-liku perusahaan, ia mampu membuka minda bersama dalam menjana perekonomian sama ada secara persendirian mahu pun berkumpulan.
Lawatan yang merupakan salah satu program yang sentiasa dimuatkan dalam kegiatan PKWE Daerah Tutong itu bukan hanya diadakan di dalam negara bahkan juga di luar negara demi memperkasa matlamat ke arah usaha mencetus semangat ahli rombongan agar sentiasa aktif menerokai pelbagai kegiatan positif demi menyemai budaya sihat dari segi rohani mahu pun jasmani di samping bertukar-tukar pandangan dengan sebaik-baiknya bersama masyarakat secara menyeluruh.
