Thursday, April 24, 2025
31.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    30 ahli Platun Bulan Sabit Merah terima sijil

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 FEB – Seramai 30 orang ahli Platun Bulan Sabit Merah dari Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah menerima sijil mengikut kategori masing-masing dalam acara yang berlangsung di Dewan Auditorium, UNISSA, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan sijil keahlian platun, sijil penghargaan dan sijil kecemerlangan kepada peserta ialah Sekretari Jeneral Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Negara Brunei Darussalam, IR Simon KA Leong.

    Antara lain tujuan majlis diadakan untuk meraikan dua orang mantan ahli Platun Bulan Sabit Merah UNISSA iaitu Awangku Muhammad Arshrul Wa’ie bin Pengiran Amirrulzam dan Awang Muhammad Amir Faiq bin Haji Amir Hisham yang menerima sijil kecemerlangan atas dedikasi yang sangat cemerlang, sifat aktif dalam beberapa acara dan majlis di peringkat universiti dan kebangsaan, serta sumbangan dan bantuan yang berharga dalam pengurusan hal ehwal platun sepanjang perkhidmatan mereka sebagai komandan dan Penolong Komandan Platun Bulan Sabit Merah UNISSA dari 2022 hingga 2023. 

    Majlis turut menyaksikan penyampaian sijil keahlian kepada 20 orang ahli platun pengambilan baharu semester Ogos 2023 yang telah menyelesaikan dan lulus penilaian dalam kursus pertolongan cemas asas.

    Sijil penghargaan juga disampaikan kepada enam orang ahli platun yang telah meneruskan perkhidmatan mereka selama setahun lagi sejak kemasukan mereka pada Ogos 2022. 

    Sijil kecemerlangan dan sijil penghargaan merupakan satu jenis pengiktirafan kepada mahasiswa UNISSA yang bukan sahaja aktif dalam pergerakan kemanusiaan menerusi Platun Bulan Sabit Merah tetapi juga keupayaan mereka bagi mengimbangi aktiviti badan beruniform dan pengajian akademik mereka. 

    Majlis turut diikuti dengan bacaan ikrar taat setia oleh ahli-ahli Platun Bulan Sabit Merah UNISSA untuk menanamkan nilai-nilai tulen yang berasaskan tujuh prinsip palang merah dan bulan sabit merah, serta membentuk disiplin dalam kalangan pelajar, menumbuhkan semangat patriotik dan kesiapan untuk berkorban demi agama, bangsa dan negara dalam diri pelajar.

    Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengarah Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, UNISSA, Dr Supri bin Haji Sudin dan pegawai-pegawai dari pusat tersebut berserta jemputan khas dari PBSM Negara Brunei Darussalam.

    Salah seorang peserta menerima sijil keahlian daripada IR Simon KA Leong. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda