Saturday, July 12, 2025
30.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    30 bekas pegawai, ahli perniagaan dihukum penjara atas rasuah

    HANOI, 11 JULAI – Sebuah mahkamah di Vietnam hari ini menjatuhkan hukuman penjara ke atas 30 orang termasuk beberapa bekas pegawai kanan kerana rasuah sebanyak AS$45 juta, dengan seorang bekas pegawai disabitkan bersalah mengambil beg pakaian yang berisi wang rasuah.

    Tindakan keras negara komunis terhadap rasuah dalam beberapa tahun kebelakangan ini telah menyaksikan dua presiden dan tiga timbalan perdana menteri dilucutkan jawatan termasuk pemimpin tertinggi perniagaan.

    Media kerajaan hari ini berkata, mahkamah Hanoi mengumumkan keputusan bagi 30 bekas pegawai dan 11 ahli perniagaan yang didakwa berkaitan rasuah, salah guna kuasa dan melanggar undang-undang pembidaan serta kontrak.

    Seramai 30 daripada 41 orang telah disabitkan dengan rasuah yang dikatakan pendakwa raya menyebabkan ganti rugi bernilai lebih 1.16 trilion dong (AS$44.6 juta) kepada negara itu, kata Public Security News.

    Pendakwa raya berkata, antara 2010 dan 2024, pengerusi Kumpulan Phuc Son, Nguyen Van Hau, membelanjakan lebih AS$5 juta untuk memberi rasuah kepada pegawai bagi memenangi puluhan kontrak projek infrastruktur berbilion dolar di tiga buah wilayah.

    Hau membawa beg pakaian berisi wang tunai ke pejabat defendan lain atau kediaman persendirian untuk tujuan rasuah, kata pendakwa raya.

    Dia dijatuhkan hukuman penjara 30 tahun bagi kesalahan itu dan juga pelanggaran lain.

    Bekas ketua parti wilayah, Vinh Phuc Hoang Thi Thuy Lan, dihukum penjara 14 tahun kerana menerima rasuah terbesar – hampir AS$2 juta dalam beg pakaian seberat 60 kilogram.

    “Saya mengakui kesilapan dan jenayah yang saya lakukan serta menerima sepenuhnya dakwaan itu,” kata Lan kepada mahkamah. – AFP

    Lan (dua kiri) bersama defendan lain semasa perbicaraan berhubung rasuah di Mahkamah Rakyat di Hanoi pada 11 Julai. – AFP

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda