Wednesday, February 5, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    30 guru sekolah PGGMB lawat dua sekolah Sabah

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 DIS – Seramai 30 guru dari sekolah-sekolah Persekutuan Guru-guru Melayu Brunei (PGGMB) yang berada di Kota Kinabalu, Sabah, kelmarin, telah meneruskan lawatan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Tobobon dan Kinabalu International School (KIS).

    Rombongan PGGMB telah dialu-alukan oleh Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Kota Kinabalu, Sektor Perancangan, Kasim @Kassim bin Wiro, dan beberapa orang pegawai kanan pendidikan Kota Kinabalu.

    Dalam lawatan itu, rombongan diketuai oleh Setiausaha Agung PGGMB, Haji Mustapa bin Haji Masri. Semasa lawatan pertama ke SK Tobobon, rombongan telah dialu-alukan oleh Guru Besar, Awang Ghani bin Haji Ag Bakar, guru-guru dan dimeriahkan dengan persembahan tarian budaya Sabah.

    Manakala semasa lawatan ke KIS, rombongan disambut oleh Pengetua Sekolah, Semual Gipson; Ketua Bahagian Menengah, Charlotte Baker; Ketua Bahagian Rendah, Mark Beresford serta guru-guru dan murid-murid sekolah berkenaan.

    Semasa lawatan itu, rombongan telah dikongsi dengan amalan-amalan terbaik sekolah, pencapaian akademik, kegiatan sekolah dan penglibatan ibu bapa dan penjagaan murid di kedua-dua buah sekolah berkenaan.

    Dengan lawatan ke dua buah sekolah itu, ianya banyak memberi perkara yang baik dan relevan untuk diguna pakai dan dapat diaplikasikan di sekolah-sekolah PGGMB nanti.

    Amalan-amalan terbaik yang diamalkan di kedua-dua buah sekolah dapat meningkat dan memacu budaya pengajaran guru dan pembelajaran murid-murid yang efektif dan berkesan kelak.

    Rombongan lawatan PGGMB ke Sabah bermula pada 4 hingga 6 Disember.

    Rombongan guru semasa melawat ke SK Tobobon. – GAMBAR SERAHAN PGGMB
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda