BANDAR SERI BEGAWAN, 2 FEB – Seramai 30 orang pemimpin dewasa dari 12 buah sekolah menengah dan maktab kerajaan dan swasta serta enam orang pemimpin muda dari Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan telah menyertai Kursus Skim Kepanduan Fasa 1 Tahun 2020 yang berlangsung selama tiga hari di Ibu Pejabat Persatuan Pandu Puteri Brunei Darussalam (PPPBD), baru-baru ini.
Kursus yang berlangsung dari 27 hingga 28 Januari itu telah diakhiri dengan majlis penutup dan penyampaian sijil di mana hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pegawai Pelajaran Kanan dan Ketua Unit Beruniform dan Perkhidmatan Kemasyarakatan, Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan, Hajah Rosediana binti Haji Hidop.
Turut hadir ialah Ketua Pesuruhjaya PPPBD, Hajah Siti Afsah binti Haji Abdul Halim.
Diadakan oleh Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan melalui Unit Beruniform dan Perkhidmatan Kemasyarakatan dengan kerjasama PPPBD, kursus antara lain berobjektif untuk mengenali skim kepanduan fasa 1 bagi bulan Januari hingga Mei.
Selain itu, untuk mengenali dan mempelajari kaedah-kaedah terkini dalam Pendidikan Kepanduan sebagai kaedah alternatif buat pemimpin (guru pengawas) dan pemimpin muda dalam mengepalai pasukan masing-masing serta sesi kongsi sama aktiviti-aktiviti pandu puteri peringkat nasional dan antarabangsa.
