Oleh Ak Zaki Kasharan
TUTONG, 29 MAC – Pusat Dakwah Islamiah (PDI) dan Persatuan Mualaf Seluruh Negara, hari ini, meneruskan penyerahan bantuan berupa makanan asasi dalam Projek Fathul Barakah 2.0 kepada 30 buah keluarga mualaf di Daerah Tutong.
Majlis berlangsung di Unit Dakwah Daerah Tutong di mana hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyerahan infak ialah Pegawai Ugama Kanan, PDI, Haji Ruslan bin Haji Sulaiman.
Majlis turut diselajurkan dengan penyerahan bantuan makanan dan minuman sempena Majlis Bertadarus dan Sembahyang Sunat Terawih Tahun 1442H/2021M bagi Daerah Tutong kepada tujuh lokasi yang terpilih termasuk Persatuan Saudara-saudara Baharu Daerah Tutong (PESATU) dan kelas-kelas bimbingan mualaf Daerah Tutong.
Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Pegawai Ugama Daerah Tutong, Haji Azman bin Haji Musa dan Yang Di-Pertua PESATU, Haji Hasbie Azrol bin Abdullah Liat.
Projek Fathul Barakah 2.0 adalah usaha dan inisiatif PDI dengan kerjasama Persatuan Mualaf Seluruh Negara untuk memberi peluang kepada orang ramai dalam sama-sama memberikan infaq jariah berupa keperluan asasi untuk diberikan kepada asnaf mualaf yang memerlukan sebelum tibanya bulan Ramadan 1442 Hijrah agar para mualaf dapat melaksanakan ibadah puasa dengan selesa dan sempurna.
Majlis bagi Daerah Tutong tersebut dikendalikan oleh Bahagian Pembangunan Mualaf (Kebajikan Mualaf) dengan kerjasama Unit Dakwah Daerah Tutong dan PESATU.