Oleh Nurdiyanah R. –
TUTONG, 19 FEB – Bagi tujuan sama-sama meringankan beban para asnaf mualaf dalam menampung keperluan harian terutama bagi persiapan menyambut kedatangan bulan Ramadan yang bakal tiba, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Pusat Dakwah Islamiah (PDI) dengan kerjasama Persatuan Saudara-saudara Baru Negara Brunei Darussalam petang tadi mengadakan Majlis Penyerahan Projek Fathul Barakah 6.0 bagi Mualaf Daerah Tutong bertempat di Dewan Utama, Kompleks Dewan Kemasyarakatan, Daerah Tutong.
Di majlis tersebut, 30 buah keluarga mualaf yang memerlukan di Daerah Tutong menerima bantuan berupa barang makanan serta penyerahan Surat Bantuan Makan dan Minum, Program Bertadarus, Bersungkai dan Sembahyang Sunat Tarawih Bersama Mualaf 1446 Hijrah/2025 Masihi yang disempurnakan oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) dan juga Penghulu Mukim Ukong, Yang Berhormat Haji Mohamad Danial @ Tekpin bin Ya’akub selaku tetamu kehormat.
Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Penolong Pegawai Ugama, Pejabat Unit Dakwah Daerah Tutong, Awang Salihan bin Samra diikuti ucapan alu-aluan daripada Penolong Pengarah PDI, Haji Ahmad Abdussalam bin Haji Abd Rahman yang juga selaku timbalan pengerusi bersama Projek Fathul Barakah 6.0.
Beliau antaranya mengambil kesempatan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada orang ramai di atas sambutan yang menggalakkan dalam menjayakan Projek Fathul Barakah baru-baru ini.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah ahli MMN, Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan juga selaku Ketua Kampung Sengkarai; dan ahli-ahli Persatuan Saudara-saudara Baru Negara Brunei Darussalam.
Terdahulu, lebih daripada 600 set infak berjaya dikumpul melalui projek berkenaan yang mana telah diungkayahkan di keempat-empat buah daerah secara pandu lalu iaitu di Bangunan Darul Huda, PDI, Kampung Pulaie pada 8 dan 9 Februari 2025. Manakala, di Pejabat Unit Dakwah Daerah Tutong, Pejabat Unit Dakwah Daerah Belait dan Pejabat Unit Dakwah Daerah Temburong telah diadakan pada 10 dan 11 Februari. Penyerahan infak akan diteruskan lagi oleh Bahagian Pembangunan Mualaf (Kebajikan Mualaf), PDI dan Unit Dakwah Daerah masing-masing dengan kunjungan ke beberapa buah rumah para mualaf terpilih.