30 lagi kes langgar arahan Operasi Pulih

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 OKT – Sebanyak 30 kesalahan telah dilaporkan dan dikenakan tindakan kompaun dalam Operasi Pulih yang memasuki hari keempat pelaksanaannya sejak 4 Oktober lalu.

Menurut kenyataan Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), sebanyak 13 kesalahan dilaporkan di kawasan Daerah Brunei dan Muara; empat kesalahan di Daerah Belait; 10 kesalahan di kawasan Daerah Tutong; dan tiga kesalahan di kawasan Daerah Temburong.

Dengan kerjasama agensi-agensi penguatkuasaan yang diterajui oleh PPDB dalam menguatkuasakan Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204 pada ketika ini, operasi itu masih aktif dan sedang dilaksanakan mengikut peruntukan dan SOP yang ditetapkan.

Sekatan jalan raya dan rondaan bermula 8 malam hingga 4 pagi akan dijalankan dalam skala yang penuh menumpukan kawasan-kawasan strategik di seluruh daerah bagi memastikan masyarakat awam sentiasa akur dan patuh kepada arahan yang telah dikeluarkan oleh pihak kerajaan.

Dalam kenyataan PPDB juga menyatakan pandemik COVID-19 yang melanda negara ketika ini telah mengubah landskap kehidupan kepada kebiasaan baharu.

Oleh yang demikian, usaha dan langkah-langkah pihak kerajaan dalam pengawalan wabak COVID-19 perlu dituruti dan dipatuhi dengan sewajarnya dalam memastikan negara dapat bebas daripada pandemik dan menjalani kehidupan seperti sedia kala.