SYDNEY, 27 Feb – Lebih 30 orang dipercayai terkorban susulan gempa bumi kuat bermagnitud 7.5 yang melanda Papua New Guinea kelmarin, lapor agensi berita China Xinhua.
Pusat gempa itu terletak 96 kilometer di barat daya bandar Mendi.
Akhbar tempatan, PNG Post Courier, melaporkan bahawa 13 orang terbunuh di Mendi manakala 18 lagi di kawasan berhampiran Kutubu dan Bosave.
Terdahulu, kerosakan yang teruk berlaku ke atas rangkaian telefon dan jalan raya akibat gempa di Papua New Guinea menghalang usaha untuk menilai tahap kemusnahan hari ini, walaupun para pegawai di wilayah tengah melahirkan kebimbangan terhadap puluhan orang yang mungkin cedera atau terbunuh.
Kerajaan tidak mengesahkan sebarang kematian selepas gempa bumi magnitud 7.5 melanda rantau dataran tinggi negara Pasifik itu awal kelmarin. Gempa susulan terus berlaku di kawasan itu.

Pentadbir Wilayah Hela William Bando memberitahu The Associated Press bahawa rangkaian telefon telah terputus, saluran kuasa terhenti dan jalan raya tersekat oleh tanah runtuh.
Beliau berkata gempa itu adalah bencana berskala besar yang belum pernah dialami sebelumnya.
“Terdapat gangguan dalam skala besar,” kata Bando.
Menurutnya, dia telah mendengar laporan mengenai berpuluh-puluh kematian dan kecederaan tetapi tidak dapat mengesahkannya.
Pusat Bencana Kebangsaan berkata ia menjalankan penilaian serta merta dengan menggunakan helikopter untuk memberikan maklumat kepada kerajaan.
Perdana Menteri Peter O’Neill berkata pihak berkuasa menilai kerosakan dan bersiap sedia untuk memberikan bantuan.
“Terdapat beberapa komuniti yang terlibat dalam bencana alam semula jadi ini dan kami menghantar tentera dan agensi kerajaan lain untuk membantu rakyat kita ketika mereka memerlukan,” kata O’Neill dalam satu kenyataan.
Gempa itu juga mengganggu kerja di kawasan loji minyak dan gas, lombong dan ladang kopi.
ExxonMobil Papua New Guinea juga menutup sebuah lapangan terbang yang dibina serta sebuah loji penghawa dingin, di mana terdapat kerosakan kepada bangunan pentadbiran, tempat tinggal dan dewan.
Pengarah Urusan Andrew Barry berkata ia cuba untuk mewujudkan semula komunikasi dengan komuniti berdekatan untuk mengetahui kesan gempa secara lebih luas.
“Kami sangat sedih dengan kerosakan akibat kejadian yang berlaku ke atas penduduk di wilayah dataran tinggi ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Agensi bantuan mengatakan mereka bersedia untuk membantu dan dalam masa yang sama menanti lebih banyak maklumat. Udaya Regmi, ketua negara Persekutuan Palang Merah dan Masyarakat Bulan Sabit Merah Antarabangsa, berkata ia mempunyai 20 sukarelawan yang bersiap sedia membantu.
Gempa itu melanda sekitar 89 kilometer (55 batu) barat daya Porgera, tapak lombong emas yang besar yang menggaji lebih daripada 2,500 penduduk. Beberapa gempa susulan yang lebih kuat juga melanda rantau ini, termasuk gempa bermagnitud 6.3 yang berlaku pada awal hari ini. Gempa itu juga menyebabkan kepanikan dan merosakkan bangunan di seluruh sempadan di Indonesia timur. – AP/Bernama