Sunday, December 22, 2024
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    30 maut dalam pertempuran antara puak di PNG

    PORT MORESBY, 16 SEPT – Kejadian tembak-menembak antara ratusan pahlawan puak telah menyebabkan sekurang-kurangnya 30 orang terbunuh di tanah tinggi Papua New Guinea (PNG), kata polis hari ini, ketika pasukan keselamatan diberikan kuasa kecemasan untuk meredakan keganasan.

    Polis berkata, kekacauan itu bermula pada Ogos apabila ‘pelombong haram’ mencederakan seorang pemilik tanah di Lembah Porgera, yang merupakan salah satu kawasan simpanan emas terbesar di PNG.

    Rundingan damai gagal, dan keadaan bertukar menjadi pertempuran puak yang sengit dengan 300 das tembakan dilepaskan kelmarin sahaja, menurut komander polis, Joseph Tondop.

    Polis berkata 30 lelaki telah terbunuh dalam kalangan puak yang bertelagah dan ratusan wanita dan kanak-kanak kehilangan tempat tinggal, dengan ‘banyak’ rumah terbakar.

    Dua pegawai juga terbunuh ketika menunggu kenderaan untuk pulang selepas bekerja, kata Tondop.

    Gambar Freepik

    Pesuruhjaya Polis, David Manning, berkata ‘tindakan yang boleh membawa maut’ akan digunakan untuk memulihkan ketenteraman di kawasan tanah tinggi yang sukar dicapai.

    “Secara ringkas, ini bermakna jika awda mengangkat senjata di tempat awam atau mengancam orang lain, awda akan ditembak,” kata Manning dalam satu kenyataan kelmarin.

    “Keadaan yang semakin teruk ini berpunca daripada pelombong haram dan peneroka haram yang menindas pemilik tanah tradisional dan menggunakan kekerasan untuk menakut-nakutkan masyarakat tempatan.”

    Polis berkata pelombong haram dari puak Sakar telah menceroboh tanah milik pesaing mereka, puak Piande.

    Penjualan minuman keras telah diharamkan dan perintah berkurung semalaman telah dilaksanakan, tambah Manning, yang berikrar untuk mengusir pelombong artisanal dari lembah tersebut. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda