KUNDUZ, Afghanistan, 6 Jan – Sekurang-kurangnya 30 orang terbunuh apabila lombong emas runtuh di timur laut Afghanistan hari ini, kata para pegawai, yang merupakan tragedi terbaharu terhadap negara yang dilanda perang itu.
Sementara itu, tujuh lagi cedera dalam kejadian di daerah Kohistan di wilayah Badakhshan, kata gabenor daerah Mohammad Rustam Raghi kepada AFP.
Penduduk kampung telah menggali tanah sedalam 60 meter (200 kaki) untuk mencari mangsa yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh itu.
“Orang ramai menggunakan penggali untuk menggali lubang besar di tepi sungai apabila ia runtuh, menjejaskan berpuluh-puluh pekerja,” kata Raghi.
“Sekurang-kurangnya 30 orang terbunuh dan tujuh lagi cedera.”

Punca kejadian itu masih tidak jelas, tetapi jurucakap Gabenor wilayah Nik Mohammad Nazari memberitahu AFP para pelombong terdiri daripada mereka yang tidak profesional.
“Penduduk kampung telah terlibat dalam perniagaan ini selama beberapa dekad tanpa kawalan daripada pihak kerajaan,” kata Nazari.
“Kami telah menghantar pasukan penyelamat ke kawasan tersebut, tetapi penduduk kampung sudah mula mengeluarkan mayat dari kawasan kejadian ini.”
Badakhshan adalah wilayah terpencil di wilayah timur laut Afghanistan yang bersempadan dengan Tajikistan, China dan Pakistan.
Wilayah miskin itu terdedah kepada tanah runtuh, terutamanya pada bulan-bulan yang lebih sejuk ketika salji tebal melanda wilayah itu.
Perlombongan haram merupakan sesuatu pekerjaan yang sering dilakukan di Afghanistan yang kaya dengan sumber bumi, dengan Taliban bergantung pada sektor ini untuk menjana pendapatannya.
Tetapi sebahagian besar galian negara itu masih belum diterokai kerana konflik yang melanda negara itu dan peraturan yang lemah menghalang pelombong antarabangsa daripada mengeksploitasi rizab yang lebih besar. – AFP