DHAKA, 29 JUN – Sekurang-kurangnya 30 orang maut dan berpuluh-puluh lagi hilang selepas sebuah feri karam dan tenggelam hari ini di Dhaka, ibu negara Bangladesh kerana bertembung dengan sebuah lagi kapal, menurut pegawai penyelamat.
Feri The Morning Bird dilanggar dari belakang oleh sebuah feri pada jam 9:30 pagi waktu tempatan pada waktu puncak, ketika pelabuhan sungai terbesar negara itu dipenuhi kapal-kapal.
“Kami sudah menemui 30 mayat, termasuk 20 orang lelaki, tujuh wanita dan tiga kanak-kanak,” kata Abul Khair, seorang penyelam dari jabatan bomba dan penyelamat, memberitahu AFP.
“Terdapat sekurang-kurangnya 50 orang dalam feri…penyelam kami sedang mencari,” kata jurucakap pengawal pantai, Komander Hayet Ibne Siddique. Feri yang berlepas dari tengah daerah Munshiganj – karam ketika ia cuba menambat di Sadarghat, pelabuhan sungai utama Dhaka digunakan beratus-ratus bot untuk melakukan perjalanan ke selatan negara itu. Ketua Pihak Berkuasa Pengangkutan Air Pedalaman Bangladesh, Komodor Golam Sadeqk memberitahu AFP, feri satu dek itu ‘tidak terlebih muatan’ dan karam disebabkan ‘kecuaian.’
Menurutnya, feri itu dibenarkan untuk membawa penumpang sehingga September. Saksi-saksi memberitahu stesen televisyen tempatan ramai penumpang kelihatan tersangkut di bahagian kabin feri. Penyelam masih lagi cuba menarik keluar mayat-mayat dari bangkai feri, pada kedalaman 40-50 kaki. Mangsa maut diletakkan dalam beg mayat yang kemudiannya disusun di hadapan pelabuhan.
Manakala sebuah bot lain tiba untuk mengeluarkan feri itu dari air, kata Siddique. Nahas bot adalah lazim di Bangladesh yang silang-menyilang dengan lebih daripada 230 buah sungai. – AFP