ISLAMABAD, 20 NOV – Pasukan keselamatan Pakistan membunuh 30 militan dalam beberapa operasi berhampiran sempadan Afghanistan dalam tempoh beberapa hari kebelakangan ini, menurut tentera hari ini. Serangan tersebut menyusul insiden pengeboman berani mati minggu lalu yang meragut 12 nyawa di Islamabad.
Tentera berkata kumpulan yang disasarkan terdiri daripada militan Taliban Pakistan (TTP) atau kumpulan berkaitan, sambil menuduh musuh tradisi, India, menyokong mereka.
Dalam operasi kelmarin di daerah Kurram, Khyber Pakhtunkhwa, 23 militan terbunuh.
Kenyataan susulan menyebut tujuh lagi militan maut dalam tiga operasi berasingan di Mohmand, Lakki Marwat dan Tank pada 18 dan 19 November.
“Pakistan akan meneruskan usaha sepenuhnya untuk menghapuskan ancaman keganasan yang ditaja serta disokong pihak asing,” kata tentera.
Islamabad sejak sekian lama menuduh Kabul melindungi kumpulan seperti TTP yang melancarkan serangan berdarah di Pakistan, sementara retorik terhadap India juga meningkat dengan dakwaan New Delhi menyokong rangkaian militan. Kedua-dua negara menafikan tuduhan itu.
Serbuan terbaharu ini berlaku selepas pengeboman luar mahkamah di Islamabad minggu lalu, yang Pakistan dakwa dirancang dari Afghanistan. Sebuah puak Taliban Pakistan mengaku bertanggungjawab atas serangan itu. – AFP


