KUALA LUMPUR, 6 Nov – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) memerlukan tempoh 30 minit setelah menerima aduan untuk menggerakkan asetnya bagi menangani penangkapan ikan secara haram di perairan Sabah. Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata setiap hari 22 bot peronda akan beroperasi di Wilayah Maritim Sabah bagi memastikan keadaan terkawal dan aman.
“Nelayan juga diminta melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya mendapati ada kegiatan penangkapan ikan secara haram dengan menggunakan pukat tunda, pukat harimau, racun sianida dan penggunaan bom ikan yang boleh menyebabkan kemusnahan kekal habitat marin,” katanya pada sesi pertanyaan jawab lisan oleh Wong Tien Fatt@Wong Nyuk Foh (DAP-Sandakan) di Dewan Rakyat hari ini.
Kertas jawapan beliau itu dibacakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri.
Shahidan berkata sebanyak 629 kes perlanggaran peraturan Akta Perikanan 1985 seperti menggunakan alat penangkapan ikan yang dilarang telah disiasat dengan jumlah kompaun sebanyak RM202,000, bagi tempoh lima tahun (2012 hingga 2016). Katanya APMM juga bekerjasama dengan Jabatan Perikanan Sabah yang menubuhkan unit penguatkuasaan di empat pangkalan utama iaitu di Kota Kinabalu, Kuala Penyu, Sandakan dan Tawau. – Bernama
![](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/11/P11-B_071117.jpg)