Oleh Hajah Saemah Kepli
SERIA, 30 Nov – Lebih 30 orang Muslimah Masjid Zainab telah diraikan pada Majlis Khatam Al-Quran anjuran Kelas Bimbingan Muslimah masjid berkenaan, di sini, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan menyempurnakan acara merenjis minyak wangi kepada peserta khatam pada majlis yang berlangsung di Masjid Zainab Lumut itu ialah Ketua Bahagian Hal Ehwal Muslimah, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Dayang Noraini binti Haji Husin.
Al-Quran adalah kalamullah, firman Allah SWT dan merupakan mukjizat terbesar Nabi Muhammad SAW yang diperolehi melalui wahyu yang berperantaraan Malaikat Jibril dan ganjaran membaca kitab suci itu pula adalah bernilai ibadah.
Sehubungan itu, majlis tersebut diadakan dengan tujuan untuk mendekatkan para Muslimah supaya sentiasa mendampingi kitab suci Al-Quran dan mengamalkan pembacaan dalam kehidupan seharian mereka.
Guru pembimbing kelas Muslimah masjid tersebut, Dayang Shamsiah binti Haji Abdul Wahid semada ditemui Media Permata menyeru supaya lebih ramai lagi kaum Muslimah melibatkan diri menyertai kelas bimbingan Muslimah untuk menjadikan diri sebagai wanita yang terbimbing dan terpimpin serta berilmu.
Selain itu, majlis tersebut juga dihasratkan dapat menjadikan kaum Muslimah lebih aktif untuk menyertai aktiviti keagamaan serta terus mengamalkan bacaan Al-Quran dalam menjalani kehidupan di dunia seterusnya mengharapkan untuk mendapat keberkatan serta kebahagiaan hidup di akhirat kelak.
