Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 MEI – Seramai 30 orang Muslimah dari Daerah Brunei dan Muara telah mengikuti Bengkel Menyempurnakan Jenazah bagi Kelas Bimbingan Muslimah Masjid anjuran Jabatan Hal Ehwal Masjid melalui Bahagian Hal Ehwal Muslimah di Masjid Sultan Sharif Ali, Sengkurong, hari ini.
Bengkel yang dikendalikan bersama Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Brunei Muara dan ahli jawatankuasa takmir masjid berkenaan dikendalikan oleh dua orang penggapai iaitu Dayang Azizah binti Haji Sulaiman dan Hajah Siti Animi bin Haji Salleh selaku pemudah cara bengkel.
Ia bertujuan untuk menambahkan lagi pengetahuan para Muslimah melalui penerangan secara teori dan praktikal mengenai tatacara pengurusan dan penyempurnaan jenazah.
Di samping itu, bengkel juga diadakan bagi meningkatkan keyakinan para peserta dan berani untuk mengendalikan pengurusan jenazah dengan betul.
Ia juga dihasratkan menarik minat para Muslimah masjid untuk menubuhkan kumpulan penggapai di masjid-masjid sekali gus memudahkan orang ramai untuk mendapatkan khidmat penggapai bagi menyempurnakan jenazah terutama bagi mereka yang tinggal di kawasan pendalaman. Di samping itu, bengkel juga menggalakkan penglibatan para Muslimah dalam hal ehwal kemasyarakatan secara aktif dan sukarela.
Bengkel seumpamanya akan diteruskan lagi ke daerah yang lain mengikut jadual yang telah ditetapkan.