Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JULAI – Seramai 30 ahli Jemaah Muslimah Halaqah 17 daripada Pertubuhan WARGAMAS Brunei menyertai majlis khatam Al-Quran yang berlangsung di Masjid Sufri Bolkiah, Perpindahan Berakas, baru-baru ini.
Majlis berkenaan diadakan sebagai menzahirkan kesyukuran atas pembacaan 30 juzuk Al-Quran sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-75.
Pada majlis itu, bacaan surah Al-Fatihah beramai-ramai dan surah lazim dipimpin oleh Pentasmik dan Ketua Halaqah 17, Pengiran Hajah Halijah binti Pengiran Haji Damit yang juga selaku ahli Jawatankuasa Induk Majlis Khatam Al-Quran 75 WARGAMAS 2021.
Sementara itu, Doa Khatam dibacakan oleh Pengiran Haji Fatimah binti Pengiran Haji Momin dan majlis diserikan dengan laungan Dikir Marhaban oleh peserta-peseta khatam.
Majlis diakhiri oleh penyampaian infaq daripada peserta khatam untuk Masjid Sufri Bolkiah yang disampaikan kepada imam masjid berkenaan, Haji Mohd Zahid bin Haji Mohd Zain yang seterusnya membacakan Doa Selamat.
