Friday, October 18, 2024
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    30 pain darah berjaya dikumpul

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 MEI – Dalam usaha berterusan membantu meningkatkan bekalan darah di negara ini, Kedutaan Thailand di Negara Brunei Darussalam hari ini mengadakan kempen derma darah bagi komuniti warga Thailand di Negara Brunei Darussalam dan rakan-rakan tempatan.

    Lebih 30 pain darah telah berjaya dikumpulkan dalam kempen yang diadakan di Pusat Pendermaan Darah Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) dengan kerjasama Pusat Pendermaan Darah bersempena Hari Memperingati Ulang Tahun Permaisuri Suthida Bajrasudhabimalalakshana.

    Hadir semasa kempen tersebut ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Kerajaan Thailand ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Boosara Kanchanalai yang turut berkesudian menderma darah.

    Ketika ditemui, Puan Yang Terutama berkata, ia merupakan aktiviti berterusan Kedutaan Thailand dengan kerjasama Pusat Pendermaan Darah dan ia merupakan sumbangan kepada Brunei, selain memberikan peluang kepada komuniti Thailand melibatkan diri dengan usaha yang mulia berkenaan.

    “Ini adalah satu perkara yang boleh kita lakukan untuk membantu antara satu sama lain dan saya melihat dalam liputan berita beberapa hari yang lalu bahawa Pusat Pendermaan Darah memerlukan lebih banyak bekalan darah bagi keperluan pesakit.

    “Ia adalah peluang yang baik untuk kita melakukan aktiviti yang murni dalam menyelamatkan nyawa,” jelas Puan Yang Terutama lagi.

    PYT Boosara Kanchanalai yang turut berkesudian menderma darah semasa kempen tersebut. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda