Oleh Daniel Lim –
BELAIT, 20 DIS – Jabatan Belia dan Sukan cawangan Daerah Belait dengan kerjasama Ilmar Enterprise telah menganjurkan Bengkel Membuat Roti Canai di Pusat Belia yang terletak di Jalan Bunga Rambai, Kuala Belait, hari ini.
Dengan dihadiri oleh kira-kira 30 peserta terdiri daripada golongan belia dan warga emas, bengkel itu berperanan membantu menyebarkan ilmu asas yang diperlukan untuk membuat roti canai serta prinsip perniagaan dalam penjualannya sebagai usahawan.
Ini termasuk bahan-bahan, resipi, serta proses menguli dan memasak yang betul yang diperlukan untuk membuat beberapa varian roti canai terkenal dan digemari yang semuanya dikongsi melalui sesi teori dan praktikal oleh Cef Haji Wan Ramli bin Ibrahim dari Ilmar Enterprise sepanjang kursus.
Bengkel berkenaan mendapat sambutan yang menggalakkan, dengan Dayang Nur ‘Izzatul Bazilah
binti Abdul Azim menyatakan bahawa ia suatu pengalaman yang membuka mata kerana ini merupakan kali pertama beliau menyertai program sebegini.
“Cef memberikan banyak pandangan penting tentang pembuatan roti canai, daripada resipi hingga cara menguli dan memasak roti canai dengan betul.
“Saya tidak sabar untuk menggunakannya bagi membuat roti canai saya sendiri di rumah dan saya berharap ia akan membantu untuk meningkatkan kemahiran memasak saya,” kongsinya.
Seorang lagi peserta, Awang Muhammad Alwafi bin Musa turut menyatakan bahawa beliau menyertai bengkel tersebut untuk mempelajari asas-asas membuat roti canai serta memanfaatkan sepenuhnya masa lapang yang ada pada musim cuti sekolah.
“Saya berharap lebih banyak bengkel dan program serupa akan diadakan pada masa akan datang kerana ia memberikan peluang kepada lebih ramai belia seperti saya untuk mengembangkan pengetahuan dan kemahiran kami,” katanya.