Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OGOS – Jabatan Kemajuan Pelancongan (JKP), Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) telah mengadakan dua sesi latihan khas yang melibatkan seramai 30 orang pemandu pelancong yang berdaftar dan berlesen di bawah jabatan berkenaan yang diadakan di Galeri Kebudayaan dan Pelancongan Kampong Ayer pada 14 Ogos dan 16 Ogos.
Latihan tersebut merupakan sebagai daripada usaha berterusan jabatan berkenaan untuk memperkukuhkan pengetahuan dan kemahiran barisan hadapan industri pelancongan negara.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JKP, di sini, menyatakan sesi latihan berkenaan memberikan tumpuan kepada penghayatan sejarah dan warisan Kampong Ayer yang telah wujud sejak abad ke-14.
Para pemandu pelancong diberikan pendedahan secara mendalam mengenai sejarah penempatan Kampong Ayer yang turut direkodkan dalam laporan-laporan awal oleh penulis Barat dan Cina.
Antara topik yang diketengahkan termasuklah variasi nama-nama kampung yang membentuk Kampong Ayer, koleksi perhiasan tradisional, hasil pertukangan tangan tempatan, sejarah pemerintahan Brunei serta perkembangan sosioekonomi masyarakat Kampong Ayer.




Elemen budaya seperti adat perkahwinan dan muzik tradisional Brunei juga merupakan komponen penting dalam pengisian latihan.
Inisiatif itu merupakan kali ketiga JKP menganjurkan latihan seumpamanya di mana ia bertujuan untuk meningkatkan kefahaman para pemandu pelancong dalam menyampaikan maklumat yang tepat, sahih dan menarik mengenai Galeri Kebudayaan dan Pelancongan Kampong Ayer serta kandungan pamerannya kepada pelawat tempatan dan antarabangsa.
Melalui sesi taklimat dan bimbingan yang diberikan, para pemandu pelancong diharap dapat mengaplikasikan ilmu yang diperoleh bagi memperkayakan lagi pengalaman pelancong yang berkunjung ke Negara Brunei Darussalam.
Pemandu pelancong, Awang Mohd Syafique Waqiuddin Nor Amirul Emha, menyatakan penghargaan atas latihan tersebut kerana sepanjang sesi mereka berpeluang berinteraksi secara langsung dengan pegawai yang mengendalikan latihan berkenaan.
“Ilmu yang diperoleh sangat bermanfaat dalam membantu kami sebagai pemandu pelancong untuk menyampaikan maklumat yang tepat semasa membawa pelancong ke galeri berkenaan.”
Tambahnya lagi, “Selain itu, sesi perkongsian ini juga bernilai kerana saya turut berpeluang mempelajari pengetahuan tambahan daripada pemandu pelancong senior melalui pengalaman yang dikongsikan.”
JKP sentiasa menitikberatkan peranan penting bagi pemandu pelancong berlesen dalam memastikan maklumat pelancongan disampaikan dengan berkualiti, mudah difahami serta menggambarkan imej Negara Brunei Darussalam dengan tepat.
Penyampaian perkhidmatan yang profesional serta berasaskan pengetahuan yang kukuh bukan sahaja meningkatkan mutu perkhidmatan pelancongan, malah turut menyumbang ke arah memperkukuh reputasi serta kualiti keseluruhan industri pelancongan negara.

