Sabtu, 22 November 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    30 pemandu pelancong timba ilmu biodiversiti Brunei

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 OGOS –Seramai 30 pemandu pelancong yang berdaftar dan berlesen di bawah Jabatan Kemajuan Pelancongan telah menyertai sesi latihan yang diadakan di Pusat Biodiversiti Tropika, dan Taman Rekreasi Hutan Luagan Lalak, baru-baru ini.

    Sesi latihan anjuran Jabatan Kemajuan Pelancongan dengan kerjasama Jabatan Perhutanan, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) itu  memfokuskan kepada pendidikan alam sekitar, penyelidikan dan pemuliharaan biodiversiti tropika.

    Galeri di pusat ini juga turut mempamerkan kepelbagaian flora dan fauna hujan tropika serta jenis-jenis hutan, selain menempatkan pelbagai spesis pokok tempatan untuk program penghijauan dan pemuliharaan.

    Manakala latihan di Taman Rekreasi Hutan Luagan Lalak pula, ianya adalah berpandukan buku panduan laluan taman tersebut.

    Destinasi pelancongan yang semakin mendapat perhatian ini merupakan salah satu lokasi pilihan jurugambar yang ingin menikmati suasana semula jadi, menampilkan ciri semula jadi yang unik di Borneo.

    Rangkaian laluan yang diperbuat daripada konkrit boleh membawa pengunjung merentasi Jambatan Konkrit sepanjang 200 meter merentasi tasek tempatan.

    Sesi latihan ini merupakan salah satu inisiatif JKP dan Jabatan Perhutanan khusus untuk pemandu-pemandu pelancong supaya dapat menimba ilmu pengetahuan, dan meningkatkan kemahiran dan pengetahuan dalam memberikan perkhidmatan pemanduan yang lebih berkualiti kepada pengunjung.

    Latihan ini antara lain bertujuan untuk menyampaikan maklumat mengenai kaedah pemeliharaan spesies pokok, kepelbagaian flora dan fauna serta tumbuh-tumbuhan dan hidupan liar yang dapat diperhatikan oleh pengunjung di sepanjang kawasan dan laluan yang ditetapkan.

    Di samping itu, etika dan tatacara yang perlu dipatuhi semasa berada di dalam hutan turut dikongsikan, termasuklah pengamalan prinsip ‘tinggalkan tiada jejak’ yang merujuk kepada tindakan membawa keluar sampah dan mengelakkan kerosakan terhadap tumbuhtumbuhan atau kemudahan awam.

    Menurut salah seorang pemandu pelancong, Aaron bin Ah Chew menjelaskan, latihan ini amat dihargai kerana penyediaan maklumat yang sahih dan relevan, khususnya di Pusat Biodiversiti Tropika.

    Katanya lagi, “pengalaman latihan secara langsung memberi peluang untuk melihat dan merasai sendiri flora tempatan, serta belajar terus daripada pakar dari Jabatan Perhutanan yang memberikan perspektif baharu melalui perkongsian dan penceritaan mereka”.

    Sebagai pemandu pelancong, latihan ini sangat berguna dalam meningkatkan keyakinan dan pengetahuan tentang biodiversiti Brunei.

    “Ini termasuklah penemuan flora endemik seperti Boesenbergia jangarunii yang memberi inspirasi untuk terus belajar selain dihara[ sesi seumpama ini akan diteruskan dengan memfokuskan kepada fauna, tingkah laku haiwan dan habitat mereka,” tambahnya.

    Jabatan Kemajuan Pelancongan terus komited untuk meningkatkan mutu perkhidmatan pelancongan di negara ini melalui program latihan ini.

    Pemandu pelancong juga diharap akan dapat memberikan perkhidmatan pemanduan yang lebih profesional dan berkualiti kepada pengunjung, dan seterusnya mempamerkan keindahan Brunei kepada pelancong.

    Gambar beramai pemandu pelancong di Pusat Biodiversiti Tropika
    Peserta Taman Rekreasi Hutan Luagan Lalak berpeluang menimba ilmu mengenai panduan laluan taman berkenaan
    Wakil dari Jabatan Perhutanan memberi penerangan kepada pemandu pelancong yang menyertai sesi latihan. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN JKP, KSSUP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda