Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 APRIL – Seramai 30 pemenang telah menerima ganjaran daripada Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) yang membawa pulang hadiah berupa BIBD Virtual Mastercard (vCard) dengan nilai kredit $300 pada acara yang berlangsung di Bangunan PGGMB di ibu negara, hari ini.
Dalam acara cabutan bulanan pertama sempena kempen BIBD Mega 30 itu, dua pemenang bertuah juga menerima hadiah kejutan Hari Raya yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Kumpulan Perbankan Runcit BIBD, Clevy Syabil ‘Ariffin bin Jamil.
Pada Februari tahun ini, BIBD telah melancarkan kempen BIBD Mega 30 selama sembilan bulan sempena sambutan ulang tahun perbankan Islamnya yang ke-30 dengan menawarkan hadiah sehingga $130,000 untuk 300 pelanggan.
Kempen yang diadakan dari awal Mac hingga akhir November itu akan memberi ganjaran kepada 30 pemenang setiap bulan, tiga pemenang suku tahunan dan tiga pemenang utama.
Pemenang bulanan akan menerima kredit vCard, pemenang suku tahunan dengan sijil simpanan BIBD Aspirasi dan pelaburan dana bersama manakala tiga pemenang hadiah utama akan membawa pulang term deposit atau pelaburan dana bersama bernilai $10,000 setiap satu.
Kempen ini dibukakan kepada pelanggan BIBD yang baharu dan sedia ada yang memohon atau melanggan produk, perkhidmatan, kemudahan pembiayaan dan/atau melakukan transaksi BIBD.
Ini adalah kali pertama BIBD menawarkan promosi bersama berskala besar melalui Kumpulan Perbankan Runcit, Kumpulan Perbankan Korporat dan unit perniagaan BIBD Securities di Mega 30.
Kempen tersebut adalah bukti komitmen BIBD untuk menyediakan pelanggan peluang menarik kepada pengalaman perbankan bersama BIBD.