Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    30 pemenang BIBD Aspirasi 7 dirai

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 OKT – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) telah mengadakan majlis penyampaian hadiah bagi program simpanan utamanya, BIBD Aspirasi 7, di mana seramai 30 pemenang menerima hadiah wang tunai dalam majlis yang berlangsung di Bangunan Persekutuan Guru-guru Melayu Brunei (PGGMB), Bandar Seri Begawan, hari ini.

    Hadir menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang yang diraikan ialah Pemangku Penolong Pengarah Urusan 1 BIBD, Haji Mohd Yusri bin Haji Wahsalfelah.

    Seramai 10 pemenang hadiah suku tahun masing-masing menerima $10,000 manakala 20 pemenang hadiah bulanan membawa pulang hadiah $1,000 setiap seorang.

    Hadiah berkenaan menandakan mercu tanda penting dalam usaha berterusan BIBD untuk menggalakkan menyimpan dan memberikan ganjaran kepada pelanggan-pelanggan atas disiplin kewangan mereka.

    Kini dalam kitaran ketujuhnya, kempen BIBD Aspirasi terus mempromosikan kepentingan dan disiplin menyimpan di kalangan warga Brunei. Di reka sebagai program simpanan dengan kelainan, BIBD Aspirasi memberi ganjaran kepada penyimpan dengan memberikan mereka peluang untuk memenangi hadiah wang tunai, yang akan terus menyokong aspirasi dan matlamat kewangan mereka.

    Para pemenang bergambar ramai pada majlis itu. – GAMBAR OLEH JAMES KON

    Untuk kempen tahun ini, BIBD telah mengeluarkan yuran pendaftaran $5 untuk peserta baharu, menjadikannya lebih mudah untuk semua orang memulakan perjalanan simpanan mereka. Ia mencerminkan komitmen BIBD terhadap rangkuman kewangan, membantu lebih ramai individu mengawal kewangan mereka dan merancang untuk masa depan.

    Seperti edisi sebelumnya, peserta Aspirasi sedia ada secara automatik dimasukkan ke dalam kempen baharu, memastikan kelayakan berterusan untuk ganjaran sambil menggalakkan tabiat penjimatan jangka panjang.

    Struktur berasaskan ganjaran unik Aspirasi membolehkan peserta terpilih untuk membawa pulang hadiah wang tunai yang besar sepanjang tahun, hadiah yang boleh menjadi rangsangan ke arah mencapai aspirasi peribadi dan kewangan.

    Dengan memberi insentif kepada simpanan dengan cara yang menarik dan inklusif, BIBD Aspirasi sejajar dengan usaha negara untuk memupuk celik kewangan dan menggalakkan kesejahteraan kewangan di kalangan rakyat Brunei.

    Program berkenaan terus menyokong matlamat negara yang lebih luas di bawah Wawasan Brunei 2035 dan Pelan Tindakan Sektor Kewangan Brunei Darussalam Central Bank (BDCB), sambil mengesahkan semula peranan BIBD sebagai Rakan Kongsi dalam Perkembangan untuk negara.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda