Oleh Yusrin Junadi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JUN – Bank Islam Brunei Darussalam Berhad (BIBD), hari ini, mengumumkan senarai pemenang bagi cabutan suku tahun kedua program penabungan BIBD Aspirasi 7, yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas.
Acara berkenaan diadakan sempena penyertaan BIBD dalam Pesta Pengguna dan Ekspo Perdagangan kali ke-31 (CFTE31), yang berlangsung hari ini hingga 29 Jun.
Dalam cabutan kali ini, seramai 30 pemenang telah diumumkan, terdiri daripada 10 pemenang hadiah suku tahunan yang masing-masing menerima $10,000, dan 20 pemenang bulanan yang menerima $1,000 setiap seorang.
Hadir menyampaikan hadiah-hadiah berkenaan kepada para pemenang ialah Pemangku Penolong Pengarah Urusan 2, Dayang Hazimah ‘Izzati binti Pehin Dato Haji Adanan.
Cabutan langsung tersebut telah dijalankan pada 17 Jun lalu, disaksikan oleh wakil Bahagian Syariah dan Pematuhan BIBD, serta juruaudit luar bagi memastikan proses cabutan dilakukan secara adil dan telus.

Sejak pelancaran BIBD Aspirasi 7 pada Disember 2024, sejumlah $320,000 telah diagihkan sebagai ganjaran tunai, bertujuan menggalakkan lebih ramai penabung untuk mencapai matlamat kewangan dan peribadi mereka.
Tahun ini, BIBD memperluaskan capaian kempen berkenaan dengan mentiadakan yuran pendaftaran $5, sekali gus memudahkan penyertaan orang ramai dalam perjalanan menabung mereka.
BIBD Aspirasi terus menonjol sebagai inisiatif penabungan unik yang bukan sahaja memupuk disiplin kewangan, malah memberi ganjaran nyata kepada para penabung sepanjang tahun. Peserta sedia ada turut dikekalkan secara automatik dalam kitaran baharu program ini, sekali gus menggalakkan tabiat menabung jangka panjang.
Struktur ganjaran unik program ini turut menyokong usaha celik kewangan negara, sejajar dengan Wawasan Brunei 2035 serta Rangka Tindakan Sektor Kewangan oleh Brunei Darussalam Central Bank (BDCB).
Dengan pendekatan yang menarik dan inklusif, BIBD terus memainkan peranan sebagai Rakan Kemajuan Negara dalam memupuk budaya penabungan dalam kalangan masyarakat.
Majlis cabutan suku tahun kedua ini turut bertepatan dengan kehadiran BIBD di CFTE31 yang sedang berlangsung di lokasi sama.
Pesta tersebut juga menjadi platform penting bagi BIBD untuk memperkenalkan produk kewangan serta promosi eksklusif, demi meningkatkan kemudahan pelanggan dan kesejahteraan kewangan mereka.