Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JUN – Dengan matlamat untuk mengeratkan hubungan silaturahim, gabungan peminat-peminat basikal pelbagai jenis di Negara Brunei Darussalam meneruskan lagi aktiviti Kayuhan Santai di Daerah Belait, baru-baru ini.
Aktiviti di Daerah Belait dikendalikan bersama oleh Pengiran Affindi Pengiran Haji Damit dan Bakhari Haji Jalur dari Panaga Foldies selaku tuan rumah bagi acara berkenaan.
Kayuhan santai bermula dan berakhir dari Taman Jubli Perak Daerah Belait sejauh kira-kira 38.5 kilometer yang diketuai oleh Ketua Kelab Kembara Basikal Lipat, Pengiran Sahminan bin Pengiran Haji Abdul Rahim dan Zainal bin Haji Jumat dengan melalui beberapa mercu tanda menarik di Daerah Belait.
Acara kayuhan santai berkenaan mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan penyertaan kira-kira 30 peserta dari Daerah Brunei Muara dan Daerah Tutong termasuk seorang peserta wanita.
Selain daripada mengeratkan hubungan silaturahim di antara peserta, acara kayuhan santai berkenaan juga dihasratkan untuk menggalakkan amalan gaya hidup sihat menerusi kegiatan riadah dan sukan di mana acara yang serupa akan diadakan di Daerah Temburong pada 29 Jun nanti.