Monday, May 12, 2025
27.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    30 peratus guna tenaga diperbaharui menjelang 2035

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JUN – Berakas Power Company Sdn Bhd (BPC), sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan anak syarikat Darussalam Assets Sdn Bhd yang mempunyai misi untuk mengendalikan, menyelenggara dan mengembangkan Sistem Janakuasa Berakas (BPS) sesuai dengan amalan antarabangsa terbaik, dan untuk menyediakan perkhidmatan kejuruteraan, reka bentuk dan pengurusan projek untuk projek infrastruktur sistem janakuasa.

    Demikian telah dijelaskan oleh Jurutera Utama Kejuruteraan & Projek BPC, Dr William Voon semasa pembentangan sesi sebelah petang mengenai 200 kWp BPC Roof Top Solar PV sebagai sebahagian daripada Forum Dasar dan Pembangunan Tenaga Boleh Diperbaharui bersempena dengan Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun Brunei 2021 (Brunei MYCE 2021).

    Dr Voon juga menjelaskan bahawa aktiviti teras BPC meliputi operasi, penyelenggaraan dan pengembangan BPS; pelaksanaan projek infrastruktur sistem kuasa utama untuk Jabatan Perkhidmatan Elektrik (JPE), Kementerian Tenaga bagi pihak kerajaan; penyediaan sokongan teknikal kepada JPE; dan penyediaan perkhidmatan-perkhidmatan perundingan dan latihan utiliti kepada JPE dan pihak ketiga. Dr Voon yang memfokuskan tajuk pembentangan, Solar Photo-Voltaic (PV) Energy and Relevant Design Considerations telah menjelaskan mengenai pentingnya mendapatkan reka bentuk dengan tepat pada kali pertama untuk menjalankan projek.

    “Adalah penting untuk memahami dari mana datangnya tenaga, yang merangkumi perjalanan matahari bermusim melalui putaran bumi di sekitarnya, di mana tujuannya adalah untuk mengoptimumkan dan menuai tenaga suria dari matahari, bersama dengan jalur matahari bulanan sepanjang tahun, serta pengaruh garis lintang pada orientasi panel untuk pengumpulan cahaya matahari yang optimum,” kongsi Dr Voon.

    Manakala Jurutera Kanan, Kejuruteraan dan Projek BPC, Awang Muhd Khairul Anwar bin Haji Bakar telah membentangkan tajuk BPC 200-kWp Rooftop Solar PV Installation and Experience.

    Dr Voon semasa menyampaikan pembentangannya bertajuk Solar Photo-Voltaic (PV) Energy and Relevant Design Considerations, kelmarin.

    “Kementerian Tenaga komited untuk meningkatkan sejumlah bahagian tenaga boleh diperbaharui hingga sekurang-kurangnya 30 peratus daripada jumlah kapasiti dalam campuran penjanaan tenaga menggunakan terutamanya solar PV menjelang 2035,” kongsi Awang Muhd Khairul Anwar. Sehubungan itu, menurutnya, BPC mengambil inisiatif untuk melaksanakan sistem solar PV di atas bumbung untuk menyokong sasaran tahun 2035 kementerian tersebut.

    “Lokasi sistem solar PV yang sesuai telah dikenal pasti di atas bumbung Ibu Pejabat BPC, sebuah bangunan kedai dan carport. Pemasangan telah beroperasi sepenuhnya pada 1 Januari 2021 dengan jumlah kapasiti terpasang 200 kWp di tiga lokasi,” jelas beliau.

    Awang Muhd Khairul Anwar juga mengongsikan beberapa bahan yang digunakan dalam projek mereka, termasuk panel suria LG 420W Neon 2, Sunny Tripower 25000TL inverters dan Schneider C60PV-DC MCB khusus untuk PV. Selain itu, beliau turut mengongsikan tentang hasil sebenar suria daripada projek yang telah menghasilkan kWh kumulatif 129,905 kWh daripada jumlah 156 hari sejak pemasangannya, dengan hasil sebenar 4.36 kWh/kWp, penghindaran CO2 sebanyak 95.17 tan, penjimatan kos pada $0.065 / kWh berjumlah $8,443.83 dan Simpanan Gas MMBTU pada AS$7.00/MMBTU berjumlah $13,368.58.

    Melihat ke hadapan, Awang Muhd Khairul Anwar menjelaskan bahawa BPC merancang untuk memasang R&D Suria di stesen mereka, melaksanakan Sistem Solar PV dalam rangkaian BPS 11kV seperti pencawang (substation) Lumapas dan seumpamanya, pemasangan di Daerah Temburong untuk menyokong Projek Tenaga Hijau Kementerian Tenaga, kenderaan EV dan stesen pengisian EV dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) dan Kementerian Tenaga, serta projek PV bersama Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS) yang sedang berlangsung.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda